KUALA LUMPUR – Lima sungai di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mencatatkan paras air melepasi tahap amaran dan bahaya susulan hujan lebat di beberapa stesen pemantauan.
Berdasarkan laman web Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat pukul 5.45 petang, dua sungai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan tiga sungai di Selangor merekodkan bacaan melebihi paras normal.
Di Kuala Lumpur, Sungai Gombak di Jalan Putra PWTC mencatatkan paras air 29.26 meter berbanding paras normal 26.22 meter, sekali gus melepasi tahap amaran.
Selain itu, Sungai Kerayong di Razak Mansion mencatatkan paras air melebihi paras bahaya pada 29.55 meter berbanding paras normal 26 meter.
Sementara itu, di Selangor, Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang merekodkan bacaan 23.82 meter melepasi paras bahaya berbanding paras normal 20.80 meter.
Dua lagi sungai di Selangor turut melebihi paras amaran membabitkan Sungai Damansara di Kampung Melayu Subang mencatatkan bacaan 17.21 meter dan Sungai Rasau di Tugu Keris, Klang pula merekodkan paras air 3.72 meter.
Orang ramai khususnya penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sungai terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa paras air menerusi portal rasmi Info Banjir JPS. – KOSMO! ONLINE














