Tangkap layar memaparkan kejadian dipercayai berlaku di kawasan Presint 14 Putrajaya.

Pemandu Nissan X-Trail nyaris rempuh pelajar OKU dikenakan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di lintasan pejalan kaki berhampiran sebuah sekolah di Presint 14 di sini berjaya dikenal pasti dan dikenakan saman.

Polis Daerah Putrajaya memaklumkan, tindakan itu diambil susulan aduan berhubung kejadian di Jalan Presint 14, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14(1) dan Surau Al-Hidayah, semalam.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut sebelum berjaya mengenal pasti pemandu terbabit.

“Hasil siasatan, satu saman telah dikeluarkan atas kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kejadian berkenaan tular di media sosial selepas sebuah video memaparkan seorang pelajar yang sedang menolak rakan sekolahnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) melintas jalan nyaris dilanggar sebuah kenderaan.

Dalam kejadian itu, sebuah Nissan X-Trail dilihat bergerak laju melepasi persimpangan meskipun lampu isyarat merah.

Susulan kejadian itu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah pematuhan lampu isyarat, khususnya ketika melalui kawasan sekolah dan lintasan pejalan kaki.

“Jangan kerana ingin cepat sampai, keselamatan orang lain menjadi taruhan. Patuhi peraturan jalan raya dan jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab,” tambah kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN