PETALING JAYA – Beberapa kawasan di Shah Alam antaranya di Kota Kemuning, Jalan Kebun dan Bukit Rimau dilaporkan dinaiki air susulan hujan lebat pada petang ini.
Kejadian itu turut dikongsikan pengguna Threads yang mana terdapat laluan dinaiki air, selain ada juga kenderaan ‘tersangkut’ untuk meneruskan perjalanan berikutan banjir kilat.
Menerusi video dimuat naik pengguna Threads Aikalluzz memperlihatkan trafik sesak di I-City Shah Alam, manakala terdapat sebuah kereta yang sedang ditolak orang ramai dipercayai tidak dapat melepasi banjir tersebut, selain sebuah lori ‘tersangkut’ di situ.
“Sini setiap kali hujan mesti air naik ya. Apa pun thank you (terima kasih) abang motor semua tolong,” katanya menerusi perkongsiannya petang ini.
Pengguna Threads Iqmaltanker turut berkongsi keadaan laluan dinaiki air di Jalan Kebun yang memperlihatkan dua kereta turut ‘tersangkut’.
“Kancil sangkut, Kancil sangkut, oi barai, barai, barai,” menurut individu dalam video dikongsikannya.
Seorang pengguna Threads Mustafanorsaedah pula berkongsi video kereta tidak dapat melepasi laluan di Jalan Sungai Rinching 32/62, Bukit Rimau susulan air naik petang ini.
“Abang aku bagi video ni air naik, dia naik 4×4 (kenderaaan pikap) pun sangkut. Ada kereta dah sangkut katanya. Yang nak ke Jalan Kebun lalu Bukit Rimau, hati-hati,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














