BANGKOK – Seorang lelaki warga Myanmar ditahan polis Thailand kerana disyaki membunuh dan mengerat mayat isterinya sebelum membuang anggota badan mangsa di kawasan longgokan sampah setelah mereka bertengkar mengenai hidangan makan malam, lapor saluran berita The Sun UK.
Suspek yang dikenali sebagai Banyar Soe Hlaing, 21, ditahan di wilayah Samut Sakhon, dekat Bangkok, lewat malam Isnin lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan isterinya yang berumur 26 tahun.
Polis berkata, mayat mangsa ditemui penduduk setempat di kawasan pembuangan sampah berkenaan malam Ahad lalu sebelum laporan polis dibuat.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas pasangan itu bertengkar apabila mangsa didakwa enggan memasak makan malam untuk suspek.
Banyar yang hilang kawalan kemudian dikatakan membunuh mangsa, memotong tubuhnya kepada beberapa bahagian dan memasukkannya ke dalam guni sebelum dibuang di tempat pembuangan sampah terletak kira-kira 19 meter kaki dari bangunan pangsapuri kediaman mereka.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian merakam kelibat suspek membawa guni melalui koridor bangunan menuju ke tempat pembuangan sampah sebanyak tiga kali. Dia dilihat kembali keesokan harinya untuk membuang pakaian serta barangan peribadi mangsa sebelum melarikan diri.
Semasa disoal siasat melalui jurubahasa, suspek mengaku membunuh isterinya, namun mendakwa dia tidak berniat berbuat demikian.
Dia juga mendakwa membuang tangan mangsa yang putus serta pisau yang digunakan dari balkoni pangsapuri. Bagaimanapun, kedua-duanya masih belum ditemui. – AGENSI














