JENNIFER yang berstatus isteri dan ibu mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Miss Universe 2026 hari ini.

Sejarah tercipta, ‘mak orang’ julang mahkota Miss Universe 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUERTO RICO – Wakil Puerto Rico, Jennifer Barreto yang berstatus isteri dan ibu mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Miss Universe 2026 dalam pertandingan yang berlangsung di San Juan, Puerto Rico, hari ini.

Jennifer, 27, yang berkhidmat sebagai ahli psikologi dan pekerja sosial berjaya mengetepikan saingan lebih 100 peserta dari seluruh dunia untuk membawa pulang mahkota berprestij itu.

Lebih manis, kemenangan berkenaan menyaksikan Puerto Rico menambah koleksi mahkota Miss Universe kepada enam sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara paling berjaya dalam sejarah pertandingan ratu cantik tersebut.

Tempat naib juara disandang wakil Republik Dominican, Melissa Nunez, manakala wakil Venezuela, Clara Vegas, menduduki tempat ketiga.

Wakil Filipina, Beatrice Millan-Windorski pula berada di kedudukan keempat, diikuti wakil New Zealand, Georgia Waddington di tempat kelima.

Jennifer turut mencuri perhatian menerusi jawapan bernas ketika sesi soal jawab akhir apabila diajukan mengenai nilai kemanusiaan yang perlu dipertahankan dalam dunia yang semakin dipengaruhi kecerdasan buatan (AI).

Dia menegaskan teknologi AI perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kehidupan masyarakat.

Bagaimanapun, penganjuran edisi kali ini tidak terlepas daripada kontroversi apabila beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Laos tidak menghantar wakil susulan pertikaian berkaitan pengurusan francais Miss Universe.

Selain itu, masalah mendapatkan visa turut menyebabkan beberapa peserta dari negara Afrika tidak dapat meneruskan penyertaan dalam pertandingan berkenaan.

Kemenangan Jennifer yang juga ibu kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu menjadi satu lagi detik penting dalam sejarah Miss Universe, khususnya dalam memperluas peluang penyertaan wanita tanpa mengira status perkahwinan mahupun keibuan.

Untuk rekod, Miss Universe memansuhkan larangan terhadap wanita berkahwin dan mempunyai anak bermula edisi 2023 sebagai sebahagian daripada usaha memperbaharui format pertandingan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN