Gambar hiasan

Anak didakwa bunuh ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam atas pertuduhan membunuh ibunya dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh S.M Madavan, 27, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Maslinda Selamat.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh ibunya P.Kanagavalli, 51, di sebuah rumah di Jalan BB 4/17, Taman Banting Baru, Banting di sini pukul 2.30 pagi hingga 3.30 pagi pada 13 November lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan dibenarkan dan mahkamah menetapkan 19 Januari depan bagi tarikh sebutan semula kes.

Pada 14 November lalu, Kosmo! melaporkan
seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes wanita tempatan yang dibunuh dengan cara lehernya dijerut dalam kejadian di sebuah rumah di Banting, Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999 pada pukul 1 tengah hari.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dijerut di bahagian leher. Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN