KUALA LUMPUR – Tugas mencabar menanti ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan yang baharu, Bojan Hodak apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadikan kelayakan ke Piala Asia sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk berkenaan meletakkan sasaran tersebut kerana percaya dengan kredibiliti dimiliki pengendali berusia 55 tahun dari Croatia itu.
Menurut beliau, pengalaman Hodak dalam kancah bola sepak tempatan merupakan antara kriteria yang menjadi pilihan FAM, sekali gus membolehkan beliau menewaskan beberapa calon lain yang dipanggil.
“Kita menemu duga tiga hingga empat calon dengan kriteria yang dilihat adalah kepada kelebihan serta pengalaman mereka.
“Hodak juga sudah biasa dengan bola sepak Malaysia dan memang kita nampak kelebihan yang ada pada beliau,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.
Terdahulu, FAM mengumumkan pelantikan Hodak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu menggantikan Peter Cklamovski manakala pengendali interim, Tan Cheng Hoe dilantik sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya.
Sebagai rekod, Hodak memiliki reputasi yang cukup baik dalam kancah bola sepak Asia Tenggara, termasuk di Malaysia apabila pernah mengemudi Kelantan meraih gelaran trebel pada 2012 sebelum membimbing Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi juara Liga Super 2014.
Kemudian, beliau berkelana ke Indonesia bagi membimbing Persib Bandung dan berjaya membantu pasukan itu menjadi juara liga sebanyak tiga kali. – KOSMO! ONLINE














