Foto kenangan Steven Sim bersama Allahyarham A. Samad Said yang dimuat naik di Facebook.

Steven Sim titip puisi penghormatan buat Allahyharham A. Samad Said

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Sasterawan Negara, A. Samad Said dengan menitipkan sebuah puisi yang dikarang khas sebagai penghormatan buat Allahyarham.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut mengenang jasa dan teladan Allahyarham yang mesra disapa Pak Samad dalam memperlihatkan hubungan antara dunia kesusasteraan dengan perjuangan politik.

“Terima kasih Pak Samad kerana mengajar bukan sahaja dengan kata-kata malah mengajar dengan teladan jiwa hidupmu bahawa sastera dan siasah berpisah tiada.

“Semoga tenang di sana Bapak,” katanya.

Menurut Chee Keong, bait pertama puisi berkenaan dikarang pada 2015 ketika Allahyarham menyertai DAP, manakala bait-bait seterusnya dihasilkan pada 2017 dengan mengangkat tajuk-tajuk karya Sasterawan Negara itu.

Antara tajuk karya yang diselitkan dalam puisi lima rangkap tersebut termasuk Langit Petang, Suara Rasa, Daun Berguguran dan Wira Bukit.

Berikut merupakan puisi yang dikongsikan Chee Keong sebagai penghormatan buat Allahyarham:

Pabila angkuh berlagak pandai,
Pabila ombak melanggar pantai;
Pabila Negara kian tergadai,
Pak Samad menyertai partai.

Bendera Merah di atas Bukit,
Nun di sana seorang petapa,
Tatkala parah seribu prajurit,
Nun di sana seorang pujangga.

Langit Petang beralih masa,
Suara Rasa sunyi menyata,
Pencinta aman kekasih bangsa,
Bersilat dengan kata-kata.

Daun Berguguran panah bersilang,
Wira Bukit beradu kuat,
Filsuf Sartre pernah bilang,
Kata-kata itu pistol bermuat.

Liar di Api, si anak watan,
Berjuang Di atas Padang Sejarah,
Biar di hati sarat harapan,
Berjuang bersama Sang Sastera.

Chee Keong turut berkongsi sekeping gambar kenangan bersama Allahyarham menerusi hantaran tersebut.

Semalam, media melaporkan A. Samad Said menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.10 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia 91 tahun.

Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke hospital pada petang Isnin akibat sakit tua, selain turut menghidap diabetes.

Berita pemergian tokoh kesusasteraan tanah air itu disahkan anaknya, Helmy Abdul Samad menerusi hantaran di media sosial.

Allahyarham yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka diangkat sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985.

Antara karya tersohor Allahyarham sepanjang pembabitannya dalam dunia kesusasteraan termasuk Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN