TUMPAT – Penemuan dadah jenis syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang akhirnya terjawab apabila Bukit Aman mengesahkan seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjadi dalang utama sebagai koordinator dan transporter sindiket tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek dipercayai menggunakan aset tentera untuk menerbangkan bekalan dadah jenis methamphetamine seberat 96.6 kilogram (kg) itu dari Lembah Klang menuju ke Labuan dan Tawau, Sabah.
“Setakat ini, seramai 13 individu telah ditahan membabitkan tujuh pegawai serta anggota TUDM dan enam orang awam termasuk dua lagi koordinator sindiket menerusi operasi khas di sekitar Lembah Klang, Labuan dan Sabah.
“Bagi juruterbang berkenaan, peranan beliau adalah sebagai koordinator dan transporter. Mengenai jumlah upah yang diterima serta berapa kali penerbangan (trip) yang telah dibuat menggunakan aset tentera, semuanya masih dalam siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika melawat keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob di Tumpat hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein menegaskan bahawa pihak polis telah mengenalpasti beberapa lagi ahli sindiket yang terlibat sebelum tangkapan dilakukan dan siasatan menyeluruh sedang giat dijalankan.
“Berikan ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan dan Ketua Polis Negara akan berkongsi hasil penuh kes ini dalam masa terdekat,” jelasnya.














