JAKARTA – Polis Indonesia merampas kira-kira 600 tan dadah menerusi operasi besar-besaran di seluruh negara sejak Oktober lalu, jumlah yang disifatkan oleh Ketua Polis Indonesia, Suyudi Ario Seto sebagai berpotensi mencatat rekod dunia, lapor saluran berita Jakarta Globe.
Suyudi yang mula menyandang jawatan berkenaan pada 1 Oktober lalu berkata, kejayaan itu hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang dipergiatkan bagi membanteras rangkaian pengedaran dadah di negara berkenaan.
“Ini berkemungkinan menjadi satu rekod kebangsaan, malah tidak mustahil merupakan rekod dunia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun, angka rampasan yang dilaporkan itu masih belum disahkan secara bebas oleh mana-mana pihak.
Menurut Suyudi, kejayaan tersebut didorong oleh arahan tegas kepada semua ketua polis wilayah supaya meningkatkan operasi terhadap pengedar, sindiket, serta kawasan kejiranan yang dikenal pasti sebagai hab utama pengedaran bahan terlarang itu.
“Saya telah mengarahkan kesemua ketua polis wilayah untuk memetakan kawasan kejiranan yang menjadi pusat pengedaran dadah di bawah bidang kuasa masing-masing serta menahan dalang utama yang beroperasi di lokasi terbabit,” tegasnya.
Selain menumpukan kepada rangkaian domestik, Polis Indonesia turut memperhebatkan usaha melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa yang beroperasi merentasi sempadan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, satu siasatan berprofil tinggi turut menyasarkan rangkaian penyeludupan yang didakwa melibatkan laluan Indonesia-Malaysia, merangkumi beberapa wilayah termasuk Madura, Surabaya, dan Kalimantan.
Menerusi operasi itu, polis menahan empat suspek yang dipercayai memainkan peranan berbeza dalam sindiket berkenaan, selain menyita aset bernilai kira-kira AS$8.2 juta (RM33 juta) yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Langkah penyitaan aset itu merupakan sebahagian daripada pendekatan lebih menyeluruh pihak berkuasa untuk mengesan dan merampas semula hasil kekayaan haram yang dijana sindiket, berbanding hanya menumpukan kepada penahanan suspek semata-mata.
Suyudi memaklumkan bahawa siasatan lanjut berhubung kes-kes yang dikaitkan dengan rampasan 600 tan itu masih giat dijalankan bagi mengenal pasti saki-baki ahli sindiket serta meneliti kemungkinan wujudnya jaringan antara pengedar tempatan dan antarabangsa.
Setakat ini, pihak polis belum mendedahkan perincian lengkap berhubung rampasan tersebut, termasuk jenis bahan terlarang, kuantiti mengikut kes individu, serta kaedah pengiraan yang digunakan bagi mendapatkan jumlah keseluruhan berkenaan. -AGENSI














