NEGARA-negara jiran Indonesia dikejutkan dengan krisis kebakaran hutan yang skalanya boleh dikatakan antara yang paling besar.

2026 tahun penuh kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

2026 semakin melabuhkan tirainya, manakala tahun ini penuh kejutan.

Serangan tanpa diduga Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran adalah antara kejutan terbesar 2026.

Serangan udara berskala mega yang dilancarkan ketika Washington dan Tehran masih dalam fasa rundingan itu mengejutkan rantau Asia Barat dan seluruh dunia.

Ia contoh berulang kali dalam sejarah di mana rundingan bertujuan mengabui mata dan melekakan pihak lawan. Serangan udara itu membunuh begitu ramai kepimpinan awam dan tentera Tehran khususnya pemimpin agung mereka, Ayatollah Ali Khamenei.

Matlamat utamanya adalah menumbangkan rejim Islam Iran, namun tanpa disangka, perkara sebaliknya berlaku. Iran melancarkan serangan balas dengan bertubi-tubi membedil menyasarkan pangkalan-pangkalan tentera AS di seluruh Asia Barat dan menyasarkan Israel.

Serangan mengejut pada bulan Februari itu mencetuskan perang yang berlarutan dan dijangka berterusan dalam tahun 2027.

Impak global menyaksikan harga tenaga dunia melambung tinggi dengan keadaan diramal sangat buruk jika perang berlarutan hingga tahun depan.

Impak ekonomi perang AS-Iran mula dirasai pada akhir tahun ini dan dijangka lebih buruk dalam tahun 2027.

Di Asia Tenggara, negara-negara jiran Indonesia dikejutkan dengan krisis kebakaran hutan yang skalanya boleh dikatakan antara yang paling besar. Berbanding dikawal semasa awalnya menerusi tindakan bersepadu dan undang-undang ketat, api dibiarkan semakin besar dan merebak di pelbagai wilayah terutamanya Pulau Sumatera dan rantau Kalimantan.

Ia memberikan kejutan apabila rakyat Malaysia dan Singapura berdepan pencemaran jerebu paling lama dalam sejarah kebakaran hutan dan tanah Indonesia iaitu sekitar sebulan.

Jerebu yang tersebar sarat membawa zarah halus berbahaya kepada paru-paru dan tubuh manusia dinamakan PM2.5.

Tahun ini juga menyaksikan perkembangan pesat teknologi dan platform kecerdasan buatan (AI) diikuti serangan siber antara paling buruk pernah berlaku.

Antara serangan utama adalah penggodaman laman web 178 organisasi utama dunia termasuk CNN, BBC, Zoom dan rangkaian peti sejuk pasar-pasar raya Eropah.

Selain rangkaian komputer biasa, sistem superkomputer Jepun, Fugaku turut digodam.

Kerugian mencecah AS$6.3 bilion (RM25.9 bilion) dicatatkan pada Oktober lalu dalam bursa mata wang kripto terbesar dunia, Binance.

Baru-baru ini pula, dunia sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan skandal bekas CEO Nvidia dengan seorang wanita dituduh menjadi pengintip China.

AI sekali lagi mendapat perhatian apabila AS menentang sebarang peraturan global bagi tujuan kawal selia dengan alasan tidak mahu ketinggalan kepada China.

Kebimbangan terbesar dalam tahun 2027 adalah perang Amerika, Israel menentang Iran yang masih belum selesai dan perkembangan amat pesat teknologi AI berbanding langkah kawal selia yang masih di peringkat perbincangan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN