KUALA LUMPUR – Kuching City FC (Kuching City) meneruskan kempen cemerlang dalam saingan Liga Super 2026/2027, selepas menundukkan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Kuching City kekal pada kedudukan ketiga carta liga dengan mengumpul 15 mata, manakala Negeri Sembilan FC kekal di tangga kelapan dengan lima mata.
Jaringan pertama Kuching City hadir menerusi pemain kebangsaan Safawi Rasid, yang membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi penyudah kemas selepas menerima hantaran hasil gerakan kombinasi Lambert Ryan dan Lambert Declan Stephen.
Tersentak dengan jaringan awal itu, NSFCÂ meningkatkan asakan untuk mencari gol penyamaan dan hampir memperoleh peluang pada minit ke-26, menerusi Muhammad Akhyar Abdul Rashid.
Akhyar yang menerima hantaran Muhammad Hairiey Hakim Mamat melepaskan rembatan kencang ke arah gawang lawan, namun bola tersasar ke sebelah kanan pintu gol.
Bagaimanapun, Kuching City terus menguasai permainan dan menggandakan kelebihan pada minit ke-36 menerusi tandukan James Okwuosa, yang menyudahkan hantaran Dylan Wenzel-Halls untuk meletakkan pasukan pelawat selesa mendahului 2-0.
Memasuki babak kedua, Kuching City terus mengasak kubu pertahanan tuan rumah dan hampir menambah jaringan ketiga seawal minit ke-46, menerusi Jerome Mpacko Etameofsaid.
Namun, jaringan itu dibatalkan selepas pemain berkenaan didapati berada dalam kedudukan ofsaid.
Pasukan tuan rumah sekali lagi berpeluang merapatkan jurang, apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Kuching City Muhammad Ariff Farhan Md Isa, ketika melakukan aksi bertahan di dalam kawasan penalti pada minit ke-83.
Bagaimanapun, sepakan penalti yang diambil Luqman Hakim Shamsudin berjaya dinafikan penjaga gol Kuching City Muhammad Haziq Nadzli, menerusi aksi cemerlangnya dan kemenangan berpihak kepada Kuching City yang menundukkan NSFC 2-0. – BERNAMA














