ILMU yang dipelajari di universiti tidak seharusnya terhenti di dalam dewan kuliah, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada orang lain.
Berpegang kepada prinsip itu, mahasiswa tahun akhir Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, Nur Zawawi Nuzaidi menggunakan minatnya terhadap teknologi dan analisis data untuk menghasilkan inovasi yang membantu proses pembelajaran serta memudahkan urusan pentadbiran akademik.
Antara usaha yang dilakukannya termasuk menghasilkan modul pengaturcaraan Python untuk pelajar prauniversiti dan membangunkan sistem pengurusan hasil pembelajaran bagi kegunaan fakulti di universitinya.
Bagi Zawawi, inovasi bukan semata-mata tentang kecanggihan teknologi, sebaliknya bermula dengan kepekaan terhadap masalah sekeliling.
“Inovasi yang berjaya tidak semestinya bermula daripada penulisan kod yang kompleks atau perkakasan yang mahal.
“Ia bermula daripada nilai empati dalam memerhatikan masalah harian yang dihadapi masyarakat atau industri serta mempunyai keberanian untuk mencuba mencari jalan penyelesaian,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) itu kepada K-Kampus.
Bukan sekadar seorang inovator, pemuda ini juga seorang yang aktif dalam kepimpinan dan penglibatan di peringkat antarabangsa antaranya pernah terpilih sebagai wakil Malaysia ke Asia Pacific Leaders Summit 2025 pada tahun lalu.
Lebih membanggakan, dia turut menerima anugerah Top 40 Asia-Pacific Academic Speak Up Presenter.
Meminati teknologi, pemuda itu mula mendalaminya ketika mengikuti pengajian dalam aliran Sains Komputer di Kolej Matrikulasi Selangor.
Pendedahan kepada pengaturcaraan Java serta kecenderungannya terhadap subjek Matematik mendorong Zawawi memilih bidang Analisis Data Komputasi yang menggabungkan kemahiran pengaturcaraan dengan penyelesaian masalah.
Antara projek yang memberi pengalaman bermakna kepadanya ialah pembangunan modul Python Programming for the Next Generation of Young Data Analysts menerusi program Service Learning Malaysia-University for Society (Sulam).
Menerusi projek bersama kumpulannya, CODATYX, dia berpeluang berkongsi ilmu pengaturcaraan dengan pelajar Kolej Matrikulasi Johor.
Idea menghasilkan modul itu tercetus selepas pensyarah penasihat, Ts. Dr. Wan Nor Munirah mencadangkan supaya bahan pembelajaran yang digunakan didokumentasikan secara lebih tersusun.
Modul berkenaan disasarkan kepada pelajar prauniversiti, khususnya aliran Sains Komputer bagi memberi pendedahan awal kepada pengaturcaraan Python yang banyak digunakan dalam bidang analisis data.
Usaha itu turut membuahkan hasil apabila modul berkenaan berjaya didaftarkan hak cipta secara bersama dengan nombor LY2024M08408.
Bagi Zawawi, kepuasan terbesar bukan sekadar melihat modul itu berjaya dihasilkan, tetapi apabila pelajar dapat memahami asas pengaturcaraan sehingga mampu menulis dan menjalankan kod pertama mereka.
Selain bidang pembelajaran, kemahiran yang dimilikinya turut dimanfaatkan untuk membantu urusan pentadbiran akademik menerusi Sistem Pengurusan Hasil Pembelajaran Program (PLO) dan Hasil Pembelajaran Kursus (CLO) bagi Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) UTHM.
“Sistem itu dibangunkan susulan keperluan memudahkan pemantauan PLO dan CLO yang sebelum ini dilakukan secara manual. Menerusi sistem berpusat yang dilengkapi papan pemuka interaktif itu, pihak pengurusan fakulti dan pensyarah dapat memantau serta menganalisis pencapaian akademik pelajar dengan lebih mudah.
“Maklumat yang dipaparkan secara visual turut membantu mengenal pasti prestasi pelajar dan menyokong proses membuat keputusan,” katanya.

Di sebalik penglibatan dalam bidang akademik dan teknologi, Zawawi turut aktif dalam kepimpinan mahasiswa apabila pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Kelab Mahasiswa Selangor (MASEL) UTHM sebelum dilantik sebagai presiden pada tahun kedua pengajian.
Dia turut memegang jawatan Bendahari Agung Persatuan Mahasiswa Selangor Nasional serta Setiausaha Kelab Ikatan Mahasiswa Malaysia (IMM) UTHM.
Pengalaman itu memberinya peluang berurusan dengan pelbagai pihak, termasuk agensi Kerajaan Negeri Selangor, selain membina kemahiran komunikasi dan pengurusan organisasi.
Antara pencapaian paling bermakna baginya ialah kejayaan menganjurkan National Data Analytics, Statistics and Mathematics Innovation Community for Success 2025 (N-DATAMATICS), program berskala kebangsaan yang menghimpunkan mahasiswa, pakar akademik dan pihak industri.
Program itu berjaya dilaksanakan tanpa peruntukan kewangan universiti apabila pasukannya memperoleh tajaan hampir RM10,000. Seramai 269 peserta menyertainya, termasuk delegasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan
Abdullah (UMPSA) yang terdiri daripada 48 pelajar dan sembilan pensyarah, selain kerjasama rakan korporat AEM Energy Solutions.
Usaha itu membuahkan hasil apabila program itu menerima Anugerah Program Terbaik (STEM), manakala Zawawi turut dinobatkan sebagai Pengarah Program STEM Terbaik pada Anugerah Inspirasi Mahasiswa UTHM 2024/2025.
Program itu kemudiannya diteruskan pada tahun berikutnya dengan UMPSA sebagai tuan rumah.
Dalam mengimbangi tanggungjawab akademik dan kepimpinan, Zawawi mengamalkan pengurusan masa yang teratur serta memberi tumpuan sepenuhnya ketika mengikuti kuliah.
Pada masa sama, dia turut memanfaatkan kemahiran analisis data untuk memudahkan urusan persatuan.
“Kemahiran analisis data yang saya pelajari turut dimanfaatkan dalam urusan persatuan melalui penggunaan platform digital bagi memudahkan pentadbiran dan penyimpanan rekod.
“Penglibatan saya tidak terhenti pada kepimpinan kampus kerana saya turut menyertai pelbagai aktiviti kesukarelawanan,” katanya.
Pada 2025, Zawawi menyertai misi Spreading Hope & Empathy Qurban di Kampung Tralach, kawasan luar bandar di Kemboja sebagai bendahari yang membantu menguruskan pelaksanaan ibadah korban.
Di dalam negara, dia turut terlibat dengan Team Selangor sebagai perintis menerusi program Semangat Sarong, Semangat Merdeka. Dia mengetuai Unit Multimedia dalam program itu dan pasukannya meraih Anugerah Buletin Terbaik serta Anugerah Media Terbaik.
Menerusi program Inspirasi Madani Mencipta Generasi Peduli pula, Zawawi berpeluang berkongsi pengetahuan asas Microsoft Excel dan Word dengan jawatankuasa kampung di Sungai Kajang, Kuala Selangor.
Pengalaman itu memberinya peluang melihat sendiri bagaimana kemahiran yang dipelajari boleh dimanfaatkan untuk membantu komuniti.
Pengalaman antarabangsa turut melengkapkan perjalanan Zawawi apabila menyertai program ASEAN Week: Roots of Resilience di FPT University, Da Nang, Vietnam dan menerima anugerah Poster Terbaik.

Pada tahun lalu, dia terpilih mewakili Malaysia ke Asia Pacific Leaders Summit 2025 di Kuala Lumpur. Dia merupakan salah seorang daripada 35 delegasi terpilih daripada lebih 3,000 permohonan yang diterima dari seluruh Asia.
Dia juga terpilih dalam kelompok 40 pembentang terbaik bagi kategori Pacific Academic Speak Up pada program itu.
Pengalaman berinteraksi dengan peserta latar belakang berbeza turut membantunya membina keyakinan dan menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa.
Selepas menamatkan pengajian, Zawawi bakal menjalani latihan Work Based Learning selama setahun sebagai pelatih penganalisis data di Malaysia Aviation Group, khususnya di bahagian Talent & Graduates Management, Group Human Capital.
Dia merancang memperkukuh kemahiran dalam penggunaan Power BI, Oracle, SAS dan kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan untuk menjadi pakar bidang dalam penyelesaian masalah perniagaan menggunakan analisis data.
Bagi Zawawi, mahasiswa tidak seharusnya mengehadkan pengalaman kepada pembelajaran di dalam kelas semata-mata.
“Mahasiswa perlu berani menyertai persatuan, membina jaringan dan menggunakan ilmu yang dimiliki untuk menyelesaikan masalah sebenar.
“Kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik atau kerjaya yang bakal dibina, tetapi juga sejauh mana ilmu dan kemahiran dimiliki mampu memberi kesan positif kepada orang lain,” katanya.














