MARC Marquez meraikan kejayaan merangkul gelaran dunia MotoGP buat kali kelapan bersama penyokong selepas perlumbaan GP Portugal di Litar Algarve, Portimao, hari ini. – AFP

Marquez julang gelaran dunia MotoGP buat kali kelapan di Portugal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORTIMAO – Marc Marquez membuktikan dirinya adalah pelumba terbaik dunia sejurus mengesahkan gelaran dunia MotoGP buat kali kelapan di Grand Prix (GP) Portugal hari ini, sekali gus menyamai rekod legenda Itali, Giacomo Agostini.

Kejayaan itu hadir selepas perjalanan penuh berliku yang dilalui pelumba Ducati berkenaan, termasuk tempoh panjang bergelut dengan kecederaan dan prestasi yang pernah menyaksikan kariernya berada di persimpangan.

Marquez mengesahkan kejuaraan dunia musim ini selepas menamatkan perlumbaan di GP Portugal di tempat kelapan dan kedudukan tersebut sudah cukup untuk memastikan gelaran dunia menjadi miliknya.

Meskipun gagal menaiki podium, Marquez memilih untuk mengharungi perlumbaan dengan lebih berhati-hati selepas terjatuh dalam perlumbaan pecut pada Sabtu lalu.

Kejayaan itu menyaksikan Marquez menyamai rekod Agostini dengan lapan gelaran dunia dalam kelas premier, selain mengatasi pencapaian Valentino Rossi yang meraih tujuh kejuaraan dunia MotoGP.

Lebih manis, secara keseluruhan, Marquez kini mengumpul 10 gelaran dunia merentasi semua kategori.

Pelumba Sepanyol itu turut mengakui perjalanan menuju kejayaan kali ini bukan mudah, malah ketika pertengahan musim, keyakinan peminat dan orang terdekat terhadap dirinya lebih tinggi berbanding keyakinannya sendiri.

“Kita perlu gembira. Saya sendiri tidak tahu di mana kita berada sekarang, tetapi saya tahu kita sedang meraikan satu detik bersejarah. Saya bergelut dan pada pertengahan musim, peminat percaya kepada saya lebih daripada saya sendiri, malah orang di sekeliling saya juga mempunyai keyakinan lebih tinggi berbanding saya.

“Namun, saya terus berusaha, terus memberikan yang terbaik. Tahun lalu, saya berkata gelaran itu membuatkan saya berdamai dengan diri sendiri. Gelaran kali ini pula adalah untuk semua peminat yang terus mempercayai saya sejak 2020 hingga sekarang. Terima kasih kepada anda semua. Gelaran ini adalah untuk anda,” katanya.

Pada perlumbaan GP Portugal itu, Marco Bezzecchi muncul juara selepas melengkapkan kemenangan berganda apabila turut memenangi perlumbaan pecut, manakala Jorge Martin menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Marquez menamatkan musim dengan tujuh kemenangan Grand Prix dan 10 kemenangan pecut, selepas mencatat 11 kemenangan Grand Prix pada 2025, sekali gus menandakan kebangkitan luar biasa sejak menyertai Ducati pada 2024. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN