KUALA LUMPUR – Penang FC kembali merasai nikmat kemenangan selepas mengalahkan Kuala Lumpur City 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hari ini.
Ia menandakan permulaan positif buat Victor Andrag selaku pengendali Penang FC selepas mengisi ketiadaan Wan Rohaimi Wan Ismail yang telah direhatkan daripada tugasnya berkuat kuasa serta-merta, 1 November lalu.
Sebaliknya, keputusan itu memberikan amaran awal buat KL City yang kini kemarau kemenangan dalam lima perlawanan terakhir dan lebih perit, kekalahan ini terhasil hasil jaringan sendiri Adam Nor Azlin.
Terdahulu, situasi salah faham antara penjaga gol tuan rumah, Quincy Kammerad dengan Syazwan Andik Ishak di awal permainan hampir mengundang padah namun bintang import pelawat, Dejan Tumbas gagal menghasilkan penyudah dengan lebih baik.
Seterusnya, kedua-dua pasukan saling memperoleh peluang tetapi ia gagal disudahkan dengan baik namun sebaik aksi memasuki masa tambahan babak pertama, usaha Adam untuk menyekat percubaan Mohamad Khala’if Mohd Naskam bertukar sebaliknya apabila bola melambung masuk ke gawang sendiri.
Penjaga gol Penang FC, Khairulazhan Khalid juga turut cemerlang untuk menafikan beberapa peluang terbaik yang dicipta tuan rumah dan minit ke-86, malang berganda menghimpit KL City apabila ketua pasukannya, Paulo Josue dilayangkan kad merah.
Aksi di penghujung permainan sedikit panas apabila tercetus insiden tegang membabitkan pertahanan pelawat, Obilor Faith Friday dan penyerang KL City, Syafiq Ahmad namun ia berjaya dikawal dengan lebih baik oleh pengadil bertugas. – KOSMO! ONLINE














