KUALA LUMPUR – Bintang skuasy negara, S. Sivasangari tidak perlu turun beraksi di gelanggang untuk menjulang gelaran Terbuka China 2026 selepas pencabarnya dari Jepun, Satomi Watanabe menarik diri daripada perlawanan final yang dijadualkan berlangsung di Shanghai hari ini.
Penarikan diri itu membolehkan pemain ranking No. 4 dunia dari Sungai Petani, Kedah berkenaan meraih kemenangan percuma, sekali gus menghadiahkan gelaran kedua musim 2026/2027 selepas menjuarai Terbuka Silicon Valley di Redwood City, Amerika Syarikat (AS), bulan lalu.
Persatuan Skuasy Profesional (PSA) mengesahkan Watanabe yang juga pemain ranking ketujuh dunia dan pilihan kedua kejohanan tidak dapat turun bersaing atas nasihat perubatan selepas mengalami simptom demam sejurus aksi separuh akhir semalam.
“Jelajah Skuasy PSA dan Terbuka China mendoakan agar Satomi segera sembuh,” menurut kenyataan badan induk itu hari ini.
Mengulas perkembangan tersebut menerusi hantaran di Instagram, Sivasangari menyifatkan kemenangan berkenaan hadir dalam situasi kurang menggembirakan dan berharap lawannya itu kembali pulih.
“Satu berita sedih dan ini bukan caranya untuk memenangi sesebuah kejohanan, tetapi saya mendoakan Satomi segera sembuh,” katanya.
Kejayaan itu menyaksikan Sivasangari kini mengumpul 19 gelaran sepanjang karier profesionalnya, termasuk lima kejuaraan bertaraf Gold iaitu Terbuka China, Terbuka Silicon Valley, Klasik London, Terbuka Australia serta Piala Grasshopper.
Lebih membanggakan, kejayaan mendakap trofi di Shanghai itu turut meletakkan dirinya sebaris dengan deretan jaguh skuasy negara yang pernah menjuarai kejohanan berkenaan sebelum ini.
Low Wee Wern kekal sebagai wakil Malaysia paling cemerlang dengan tiga gelaran pada 2011, 2012 dan 2014, manakala Datuk Nicol David (2013), Rachel Arnold (2024) serta Sivasangari masing-masing meraih satu kejuaraan. – KOSMO! ONLINE














