PETALING JAYA – Bekas anggota polis yang mendakwa menjadi mangsa kekerasan Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dalam kejadian di Hilir Perak pada 2015 tidak berhasrat memfailkan saman sivil terhadap pegawai kanan polis itu.
Tetuan Kamal Hisham & Associates dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan saman sivil tidak dapat diteruskan berikutan kekangan di bawah Seksyen 6 Akta Had Masa 1953.
Menurut firma guaman itu, kejadian yang didakwa berlaku kira-kira 11 tahun lalu menyebabkan pengadu kini hanya berharap laporan polis yang dibuat pada 2015 dapat diteliti semula bagi mendapatkan keadilan.
“Pengadu berharap agar laporan polis pada tahun 2015 tersebut dapat diteliti, disiasat dan dipertimbangkan seadil-adilnya oleh pihak polis dan Peguam Negara demi kepentingan keadilan.
“Hal ini kerana, itu sahajalah satu-satunya ruang dan peluang yang masih ada untuk pengadu mendapatkan keadilan yang tertangguh sejak lebih kurang 11 tahun lalu,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, pengadu menyerahkan sepenuhnya kepada kuasa budi bicara dan kebijaksanaan Peguam Negara untuk membuat keputusan seadil-adilnya berhubung laporan berkenaan.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, tindakan saman sivil terhadap Mohd. Shuhaily berhubung dakwaan kekerasan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada September lalu akan melalui pengurusan kes pertama pada 4 Disember depan.
Menurut firma guaman berkenaan, dokumen saman sivil yang difailkan di Mahkamah Sesyen Sepang telah berjaya diserahkan kepada peguam yang mewakili Mohd. Shuhaily pada 11 November lalu.
“Mahkamah Sesyen Sepang telah menetapkan tarikh pengurusan kes kali pertama secara fizikal pada 4 Disember 2026, jam 9 pagi untuk kehadiran pihak-pihak.
“Bagi kes pertuduhan jenayah, tarikh sebutan kes telah ditetapkan pada 25 November 2026, jam 9 pagi untuk serahan dokumen oleh pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang bekas anggota polis memohon Peguam Negara menyemak semula laporan polis yang dibuat pada 19 November 2015 berhubung dakwaan kekerasan ketika Mohd. Shuhaily menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Hilir Perak.
Dalam kes berasingan, Mohd. Shuhaily yang juga Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di KLIA pada 28 September lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














