Tangkap layar kejadian langgar lari di Kampung Jawa, Hulu Langat hari ini.

Pemandu Satria kuning dicari kes langgar lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Polis sedang giat mengesan pemandu sebuah kereta dipercayai Proton Satria berwarna kuning yang terlibat dalam kejadian langgar lari sehingga menyebabkan seorang wanita cedera di Kampung Jawa, Jalan Hulu Langat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.56 pagi itu, mangsa berusia 53 tahun tercampak ke atas jalan selepas motosikalnya dirempuh dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian tersebut yang tular di media sosial kira-kira pukul 1.50 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu memberhentikan motosikalnya di bahu jalan untuk berurusan di sebuah kedai berhampiran.

“Secara tiba-tiba, sebuah kereta dipercayai jenis Proton Satria berwarna kuning telah melanggar bahagian belakang motosikal tersebut sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke atas permukaan jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang merupakan wanita warga tempatan mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, pihaknya kini giat mengesan pemandu kereta terbabit selain saksi yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau video kejadian, khususnya pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan pada waktu kejadian, diminta tampil menyalurkan maklumat.

“Individu yang mempunyai maklumat atau rakaman pergerakan kereta terbabit boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-326 8496,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN