JAKARTA – Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) menggagalkan dua cubaan penyeludupan di Pulau Sumatera apabila merampas 405 tan bahan kimia, berjuta-juta kad SIM kosong dan 20.07 kilogram metamfetamin, lapor laman berita RRI hari ini.
Rampasan pertama dibuat di atas kapal asing berbendera Comoros, MV Star Line di perairan Belawan, wilayah Sumatera Utara. Kapal tersebut didapati membawa 405 tan bahan kimia natrium perklorat dan jutaan kad SIM kosong.
Kawalan keselamatan dilakukan oleh kapal tentera KRI Sigalu-857 pada Sabtu, 7 November lepas. Tindakan bermula apabila MV Star Line dikesan melakukan aktiviti mencurigakan dan tidak membalas komunikasi radio.
Semasa pemeriksaan, anggota-anggota TNI menemui 15 kontena yang menyimpan 405 tan natrium perklorat. Mereka juga menemui jutaan kad SIM 4G LTE kosong yang dibungkus dalam 54 palet.
Kapal tersebut kemudiannya diiring ke markas Komando Wilayah I untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.
Proses siasatan dilakukan dengan kerjasama Badan Narkotik Nasional (BNN), Polis Negara Indonesia (Polri), Jabatan Kastam dan Eksais, Imigresen, serta agensi berkaitan.
Sementara itu, penemuan kedua dibuat oleh anggota Pasukan Tindak Balas Pantas Pangkalan Angkatan Laut Lhokseumawe di Kuala Raja Muda, Aceh dengan 20.07 kilogram metamfetamin dirampas sebagai bahan bukti.
Operasi dilakukan pada 5 November lepas hasil maklumat orang awam.
Pemeriksaan di tempat kejadian menemui sebuah guni mengandungi 20 bungkusan metamfetamin yang dibungkus dalam uncang teh Cina. – AGENSI














