KUALA KRAU – Ikan patin, jelawat, kerai dan lampam di Sungai Pahang berisiko pupus dalam tempoh lima tahun jika ancaman baung ekor merah, spesies pemangsa asing yang semakin menguasai perairan negeri ini, gagal dibendung.
Menyedari ancaman itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM450,000 bagi melaksanakan operasi memburu ikan baung ekor merah secara serentak di tujuh lokasi seluruh Pahang, sekali gus mencipta pencapaian apabila program berkenaan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengiktirafan itu diberikan berdasarkan jumlah tangkapan ikan baung ekor merah yang direkodkan menerusi penganjuran Pahang First Tawan Baung Ekor Merah Fest, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan negeri melindungi ekosistem sungai.
Menurutnya, kajian mendapati spesies pemangsa itu berpotensi mengancam populasi ikan tempatan sehingga dikhuatiri menyebabkan khazanah sungai Pahang lenyap sekiranya tiada tindakan serius diambil dalam tempoh terdekat.
“Kalau kerajaan negeri tidak serius dan bersungguh-sungguh memastikan ikan baung ekor merah ini dapat dikurangkan atau dihapuskan, percayalah suatu hari nanti mungkin ikan patin, kerai, jelawat dan lampam akan pupus di sungai-sungai Pahang.
“Kita sudah kaji, tidak sampai lima tahun mungkin habis semua ikan yang sedia ada dalam sungai disebabkan ancaman ikan baung ekor merah ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Pahang First Tawan Baung Ekor Merah Fest di Dataran Pekan Sehari, Kuala Krau di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE














