KUALA LUMPUR – Pembangunan pusat data di negara ini perlu dirancang di lokasi berasingan dari kawasan industri sedia ada bagi mengelak operasi industri utama yang menjadi penyumbang kepada ekonomi negara terjejas.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keperluan tenaga pusat data memerlukan perancangan teliti dengan mengambil kira kepentingan industri sedia ada, kawasan perumahan serta kemudahan awam.
Katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai keupayaan membekalkan tenaga elektrik mencukupi, namun pengurusan permintaan perlu dilakukan secara strategik bagi memastikan bekalan tenaga negara dapat memenuhi keperluan semua sektor.
“Apabila ada pelabur mahu membuka pusat data, saya katakan pusat data perlu diasingkan daripada pembangunan industri yang sudah ada dalam negara.
“Kalau kita ada 27 industri, 27 industri ini akan kita jaga, termasuk kawasan perumahan, taman perumahan dan pusat ibadat.
“Kita mahu memastikan keperluan tenaga pusat data tidak mengganggu 27 industri sedia ada kerana sektor ini adalah sumber utama ekonomi negara,” katanya selepas merasmikan Program Sumbangan Ceria ke Sekolah TNB bersama masyarakat di Kampung Padang, di sini semalam.
Menurut Johari, pembangunan pusat data memang diperlukan, namun jumlah dan skala pelaburan perlu ditentukan mengikut kemampuan serta kekuatan ekonomi negara, bukannya ditentukan sepenuhnya oleh kehendak pelabur.
Jelasnya, kerajaan berhak memilih pelabur yang sesuai, selain menilai tujuan pembangunan pusat data dan jumlah kapasiti tenaga elektrik yang diperlukan sebelum kelulusan diberikan.
“Apabila pelabur datang berjumpa saya untuk memohon kelulusan pusat data, saya akan tanya apa tujuan mereka membangunkannya dan berapa banyak megawatt (mw) tenaga yang diperlukan.
“Selepas mereka menjelaskan tujuan dan keperluan pelaburan itu, baru kita pertimbangkan kelulusan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan yang digunakan juga berbeza kerana pelabur perlu membayar kapasiti elektrik yang telah dipersetujui walaupun tidak menggunakan sepenuhnya jumlah berkenaan.
“Kalau kilang baru dibuka memohon 50 mw, tetapi baru guna 10 mw, kita tidak boleh batalkan baki kapasiti itu kerana kita jangkakan kilang berkenaan akan berkembang.
“Tetapi pusat data berbeza. Kalau mereka mahu guna 100 MW, mereka perlu nyatakan 100 mw. Jika 200 mw, nyatakan 200 mw.
“Kalau sudah berjanji menggunakan 200 mw atau 300 mw, tetapi guna kurang daripada jumlah itu, mereka tetap perlu membayarnya,” kata beliau.-KOSMO! ONLINE














