PRESIDEN PSM, Datuk Sumali (kiri) bersedia merebut jawatan No. 2 ISTAF.

Sumali sah cabar kerusi No. 2 ISTAF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada pemilihan badan induk itu yang berlangsung 9 Disember ini di Bangkok, Thailand.

Sumali berkata, beliau sudah menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan berkenaan selepas mengumumkan hasrat itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Kuasa Tertinggi dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM, hari ini.

Perebutan kerusi Timbalan Presiden ISTAF itu dijangka menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan calon dari Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Sumali sebelum ini turut mengesahkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) apabila diumumkan menang tanpa bertanding pada 11 September lalu selepas hanya dua pencalonan diterima bagi mengisi dua jawatan berkenaan.

Beliau mengisi satu daripada dua kerusi Timbalan Presiden ASTAF bersama Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand, Dr. Srihassak Arrirachakaran, yang turut menang tanpa bertanding.

“Untuk jawatan ISTAF, hari ini tutup pencalonan dan pengisian borang untuk bertanding. Dalam mesyuarat agung dan mesyuarat jawatankuasa PSM, saya sudah umum bertanding jawatan Timbalan Presiden ISTAF dan hari ini saya sudah hantar borang pencalonan.

“Ini bukan pencalonan daripada saya sendiri, sebaliknya pencalonan itu datang daripada PSM. Sama ada ada pertandingan atau tidak, saya belum pasti kerana itu perlu ditanya kepada badan induk berkenaan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Sumali berkata, kehadiran wakil Malaysia dalam kepimpinan ASTAF dan ISTAF penting bagi memastikan suara, pandangan serta cadangan negara dapat diketengahkan dalam badan induk sepak takraw di peringkat Asia dan antarabangsa.

Menurutnya, Malaysia perlu mempunyai wakil dalam kepimpinan kedua-dua badan itu bagi menyumbang kepada perkembangan sukan berkenaan, berbanding sekadar berada di luar tanpa memegang sebarang jawatan.

Mengulas mengapa memilih untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden ISTAF berbanding Presiden, Sumali berkata, tanggungjawab sebagai orang nombor satu badan induk dunia itu menuntut komitmen serta fokus yang lebih besar.

Katanya, ISTAF mempunyai dua jawatan Timbalan Presiden, sekali gus membolehkan beliau dan seorang lagi pemegang jawatan membantu Presiden serta badan induk itu dalam usaha membangunkan sepak takraw.

“Dengan komitmen yang ada sekarang, saya perlu memberi fokus besar sekiranya bertanding jawatan Presiden ISTAF. Jadi, saya lebih selesa bertanding Timbalan Presiden kerana masih boleh membantu badan itu mengikut kesesuaian masa yang saya ada.

“Jawatan Timbalan Presiden ISTAF juga ada dua, jadi saya boleh bekerjasama dengan seorang lagi timbalan untuk membantu Presiden,” tambahnya.

Kongres ASTAF dan ISTAF dijadual berlangsung serentak pada 9 Disember ini di Bangkok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN