KUALA LUMPUR – Graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) perlu beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta inovasi, pemegang paten dan pemilik industri masa depan dalam mendepani perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), robotik serta ekonomi hijau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata graduan perlu memiliki keupayaan menghasilkan inovasi dan menguasai teknologi sendiri, bukan hanya bergantung kepada kemahiran memasang atau menyelenggara mesin.
“Graduan UniKL jangan sekadar memasang cip atau menyelenggara mesin. Jadilah inovator, pemegang paten, technopreneur dan pemilik industri masa depan.
“Dan inilah yang sedang UniKL lakukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UniKL Ke-23, di sini hari ini.
Turut berangkat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang dimasyhurkan sebagai Canselor UniKL baharu, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pro-Canselor UniKL berkata, universiti itu perlu terus memberi penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kerjaya utama, selain menjadikan pendidikan sebagai pemangkin mobiliti sosial.
Katanya, stigma bahawa TVET adalah pilihan kedua perlu dihapuskan memandangkan bidang itu terbukti mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan prospek kerjaya yang baik.
“Stigma bahawa TVET ialah pilihan kedua mesti dipadamkan. UniKL sudah melahirkan lebih 100,000 graduan teknikal, dengan kadar kebolehpasaran melebihi 98 peratus dan alumninya berkhidmat di lebih 20 negara.
“Ukuran akhirnya ialah kerjaya profesional dan gaji yang bermaruah (dignified wages). Selain itu, kita juga perlu menjadikan pendidikan sebagai pemangkin mobiliti sosial.
“Nilai UniKL terletak pada sejauh mana ia mengubah kehidupan graduan dan keluarga mereka, khususnya anak Bumiputera, luar bandar dan B40.
“Contohnya apabila anak penoreh getah menjadi jurutera penerbangan, itulah pendidikan yang memutuskan kitaran kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata, bagi masyarakat Melayu dan Bumiputera, pendidikan sejak sekian lama menjadi jalan untuk mengubah nasib serta mempertahankan maruah.
“Dari desa hingga ke pesisir, ibu bapa sanggup berkorban kerana yakin bahawa ilmu mampu membuka peluang yang lebih luas kepada generasi seterusnya.
“DNA teknikal itu juga sudah lama hidup dalam peradaban kita. Nenek moyang kita membina kapal yang meredah samudera dan istana tanpa paku. Hari ini, UniKL MIMET (Institute of Marine Engineering Technology) melahirkan tenaga mahir dalam teknologi maritim.
“Sementara itu UniKL MIAT (Malaysian Institute of Aviation Technology) membina kepakaran dalam penyelenggaraan pesawat. Inilah kesinambungan ilmu yang membawa kita daripada warisan kepada penguasaan teknologi,” katanya.
Â














