Konvokesyen 2026 sudah bermula di setiap institusi pengajian tinggi (IPT). Persiapan sedang rancak dilakukan sebelum berlangsungnya majlis yang pastinya menjadi memori paling indah sepanjang bergelar mahasiswa.
Penantian dan jerih perih yang telah dilalui pasti akan terbalas apabila menerima segulung ijazah yang bakal mengubah kehidupan pada masa hadapan.
Konvokesyen bukan hanya diukur dengan pencapaian kecemerlangan akademik semata-mata.
Tempoh pengajian yang telah dilalui pastinya menjadikan diri anda matang dan dilengkapi dengan disiplin ilmu sehingga menjadi mahasiswa yang kental.
Menara gading bukan menjadi medan terakhir dalam menuntut ilmu kerana ungkapan juga ada menyatakan: “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”
Ini bermakna IPT berperanan penting sebelum mahasiswa melangkah keluar ke alam pekerjaan.
Mahasiswa adalah tonggak dan bakal mewarisi pucuk pimpinan negara. Justeru mereka perlu dilengkapi dengan akhlak dan keperibadian yang baik agar dapat mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Universiti adalah institusi penting yang berperanan sebagai agen pembangunan dalam memenuhi keperluan nasional dan aspirasi negara. Oleh itu, peranan utama adalah melahirkan graduan yang kompeten.
Mereka perlu memiliki kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri dan masyarakat bagi membolehkan menyumbang kepada pembangunan teknologi serta ekonomi negara.
Ini sejajar dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu mencungkil dan mengembangkan potensi diri pelajar agar mereka mampu menjadi warganegara yang bertanggungjawab dalam masyarakat.
Sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan dunia semasa, IPT di Malaysia mula mengorak langkah dengan memberikan respons terhadap matlamat pembangunan negara yang dihasratkan.
Oleh itu, iltizam difokuskan terhadap pembinaan masyarakat yang analitis, berpengetahuan dan berkemahiran. Usaha ini turut dilaksanakan melalui peningkatan kemahiran dan profesionalisme menerusi latihan yang disediakan serta penambahbaikan kaedah pengajaran.
Hampir keseluruhan IPT di negara kita sudah mula beralih kepada pembelajaran secara hibrid dan program yang berorientasikan kecerdasan buatan.
Ini bermatlamat membantu mahasiswa mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan bukan akademik.
Platform dan ekosistem pembelajaran terbaik bagi memperkaya pembangunan sahsiah pelajar turut diberikan penekanan.Ini dapat dibuktikan apabila pengalaman yang diperoleh ketika berada di alam pengajian tinggi memberikan pendedahan dan kesan dalam pembentukan sahsiah serta keperibadian mahasiswa.
Menjadi graduan beradab IPT perlu memikul tanggungjawab besar bagi melahirkan mahasiswa yang cemerlang akademik dan juga akhlak.
Ini kerana menara gading adalah tempat pertemuan para sarjana yang memusatkan kepada matlamat mencari ilmu bagi meningkatkan peradaban manusia.
Malah, aspirasi pendidikan negara turut meletakkan pembentukan akhlak dalam kalangan mahasiswa sebagai agenda utama.

Sesuai dengan peredaran zaman, peranan mahasiswa menjadi lebih komprehensif. Mahasiswa sering dilihat sebagai gambaran kepimpinan negara pada masa hadapan.
Ini sejajar dengan nukilan Nelson Mandela yang menyatakan: “Pendidikan ialah senjata paling berkuasa yang boleh digunakan untuk mengubah dunia.”
Nilai akhlak serta budi pekerti yang baik dan tinggi lahir melalui pembelajaran yang sempurna dan sepanjang hayat. Ini turut diperoleh melalui pendidikan secara formal atau tidak formal.
Akhlak yang terpuji merupakan indikator terhadap kemenjadian mahasiswa yang cemerlang. Justeru IPT adalah tempat yang sesuai untuk proses pembentukan jati diri unggul mahasiswa.
Dari segi jangka panjang, pembinaan akhlak yang sempurna akan melahirkan mahasiswa bertamadun dan dihormati. Di samping itu, akan melahirkan masyarakat yang produktif dan profesional.
Masyarakat dan pemimpin yang berintegriti mantap serta nilai profesional yang tinggi akan menjulang martabat seseorang graduan dalam pandangan masyarakat.
Peluang dan ruang pembelajaran yang signifikan dengan pelbagai kemahiran seperti interpersonal, kemahiran berfikir dan keyakinan kendiri bagi membentuk akhlak yang sempurna telah dibekalkan oleh IPT.
Matlamat pembelajaran juga disusun selari dengan perkembangan dunia semasa dan mendasari industri. Usaha ini turut disokong melalui pelbagai pendekatan pembelajaran seperti andragogi, eksperimen, problem-based learning dan community-based learning.
Sudah sampai masanya pendekatan challenge-based learning (CBL) atau pembelajaran berasaskan cabaran yang digunakan dalam pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa dilaksanakan di IPT.
Penglibatan secara aktif dalam aktiviti kokurikulum dan kemasyarakatan adalah nilai tambah apabila mahasiswa meninggalkan alam pengajian tinggi.
Pengalaman dan tanggungjawab pensyarah sebagai suri teladan pastinya memberikan suntikan semangat kepada para graduan sebelum mereka meninggalkan alam pengajian tinggi.
Menjelang hari yang bersejarah, pasti cukup bermakna apabila mendengar titah dan pesanan yang disampaikan ketika konvokesyen.
Tidak kurang juga yang menitiskan air mata apabila menyaksikan wajah sayu graduan berkelainan upaya dan ibu bapa yang menerima ijazah secara anumerta bagi pihak anak mereka.
Itulah bukti kesungguhan seorang graduan yang menjulang ilmu, mengakar adab.
Menggenggam segulung ijazah sahaja tidak memadai untuk bergelar sebagai graduan yang holistik. Mereka perlu dilengkapi dengan akhlak yang baik dan berkemampuan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta negara.
Tahniah kepada seluruh graduan. Jadikanlah ilmu sebagai cahaya kehidupan dan adab sebagai suluh perjalanan. Sesungguhnya, konvokesyen bukanlah noktah kepada perjuangan menuntut ilmu, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.














