ISTANBUL – Pakatan tentera diketuai Arab Saudi menyatakan semalam bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan dua dron dilancarkan kumpulan Houthi dari Yemen di wilayah kota suci Mekah serta dua lagi dron di wilayah Madinah, menjadikan keseluruhan tujuh dron dipintas pada hari berkenaan, lapor agensi berita Anadolu.
Jurucakap pakatan itu, Jeneral Turki al-Maliki mengumumkan kejayaan memintas dron berkenaan menerusi beberapa kenyataan berasingan di platform X.
Bagaimanapun, beliau tidak mengenal pasti pihak yang melancarkan dron yang dipintas di Madinah atau memberikan maklumat mengenai kemungkinan kecederaan dan kerosakan akibat kejadian itu.
Terdahulu semalam, pakatan Arab Saudi memaklumkan bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh militia Houthi ke arah Riyadh serta tiga dron di Wilayah Timur Arab Saudi.
Kumpulan Houthi meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi sejak Julai lalu dengan menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruz dan dron yang menyasarkan lapangan terbang, kemudahan minyak serta lokasi lain.
Arab Saudi mengetuai pakatan tentera menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sejak Mac 2015, selepas puak Houthi menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah lain pada September 2014. – Bernama














