SEREMBAN – Baru seminggu menjejakkan kaki ke Malaysia untuk mencari pekerjaan, seorang graduan warga Indonesia sanggup mempertaruhkan masa depannya apabila bersetuju menerima upah RM6,000 untuk menjadi keldai dadah.
Namun, percubaan pertama lelaki berusia dalam lingkungan 20-an menyeludup syabu ke Indonesia tidak kesampaian apabila ditahan ketika membawa bagasi berwarna hitam yang diubah suai di Terminal Pelepasan Jeti Penumpang Port Dickson pada pukul 9.45 pagi, Rabu lalu.
Pemeriksaan terhadap bagasi itu menemukan 5.098 kilogram (kg) syabu yang disembunyikan dalam ruang khas sebelum polis menyerbu sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur yang membawa kepada penemuan 4.14 kg lagi dadah jenis sama.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan mendapati suspek baru menamatkan pengajian dalam bidang Ilmu Pengetahuan Islam dan Arab di sebuah institusi pengajian tinggi di Aceh sebelum datang ke negara ini pada 4 November lalu untuk mencari pekerjaan.
“Suspek membawa sebuah bagasi yang turut berisi pakaian dan barangan peribadi dipercayai dalam perjalanan pulang ke Tanjung Balai, Indonesia.
“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati bagasi itu diubah suai dengan menyediakan ruang khas untuk menyimpan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Alzafny berkata, siasatan mendapati suspek mencari pekerjaan menerusi media sosial dan kenalan sebelum dihubungi seorang lelaki senegara yang masih diburu polis.
Katanya, lelaki tersebut menawarkan pilihan bekerja di kedai makan atau membawa dadah dari Malaysia ke Indonesia dengan bayaran 30 juta rupiah (RM6,000) bagi setiap penghantaran.
“Kita percaya selepas penghantaran pertama selesai, dia akan kembali semula ke Malaysia untuk membawa bagasi kedua. Bagaimanapun, rancangan itu tidak sempat dilaksanakan kerana ditahan pihak berkuasa,” katanya.
Siasatan mendapati suspek dipercayai ditawarkan kondominium di Cheras sepanjang berada di Malaysia. Secara keseluruhan, sebanyak 12 bungkusan berisi syabu seberat 9.238kg bernilai RM476,180 dirampas dalam dua operasi tersebut. – KOSMO! ONLINE
















