PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan pelajar yang didakwa meninggalkan ruang solat sebuah pusat dakwah dalam keadaan bersepah selepas bersiap untuk menghadiri majlis apresiasi mengundang kecaman orang ramai.
Kejadian itu tular selepas seorang pengguna Threads, @neyrashazeyra berkongsi beberapa keping gambar memaparkan keadaan ruang solat yang dipenuhi barangan peribadi, pakaian, tisu serta sampah yang bertaburan di atas lantai dan sejadah.
Menerusi hantaran tersebut, wanita berkenaan mendakwa kumpulan pelajar terbabit menggunakan ruang solat dan tandas untuk bersiap serta mengenakan solekan sebelum menghadiri majlis apresiasi di sebuah hotel berhampiran.
Menurutnya, keadaan ruang solat itu amat mengecewakan apabila terdapat bekas minuman yang tertumpah di atas permaidani dan sejadah, selain bekas bulu mata palsu serta kesan bedak yang bertaburan.
“Aduh, pelajar sekolah mana yang ada majlis apresiasi Tingkatan 5 di hotel sebelah ini, kemudian bersiap dan bersolek di pusat dakwah sampai bersepah ruang solat dan tandas?
“Sampai cawan minuman pun tunggang-terbalik, tumpah atas permaidani dan sejadah. Kotak bulu mata dibuang bersepah, bedak bertaburan atas lantai. Tisu dan kapas yang ada kesan solekan dibuang begitu sahaja atas sejadah,” katanya.
Perkongsian itu meraih perhatian ramai dengan rata-rata pengguna media sosial mengecam sikap tidak bertanggungjawab kumpulan berkenaan, lebih-lebih lagi kerana kejadian berlaku di tempat ibadah.
Seorang pengguna Threads, @azzaazman mempersoalkan tahap disiplin murid terbabit yang didakwa tidak menjaga kebersihan selepas menggunakan kemudahan awam.
“Betulkah Tingkatan Lima atau darjah enam? Ish, ish,” katanya.
Sementara itu, seorang individu menggunakan nama @zikri_jamal yang mengaku mewakili kumpulan pelajar terbabit tampil memohon maaf atas kejadian tersebut.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan telah dilakukan selepas pihak RELA memaklumkan keadaan ruang solat berkenaan.
“Assalamualaikum, saya wakil pelajar memohon ampun dan maaf atas kekhilafan.
“Wakil RELA sudah memaklumkan kepada saya dan kami telah melakukan kerja pembersihan sebelum perkara ini tular. Mohon puan turunkan hantaran tersebut. Mohon maaf sekali lagi atas kesilapan pelajar asrama,” katanya.
Individu itu turut memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan ruang solat berkenaan yang sudah dibersihkan dan kembali kemas. – KOSMO! ONLINE
















