ISTANBUL – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran perdagangan antara Malaysia dengan Turkiye bernilai RM40.6 bilion menjelang 2030 mampu dicapai terutama melalui perolehan peralatan pertahanan dan keselamatan.
Menurut Ahmad Zahid, imbangan perdagangan antara kedua-dua negara buat masa ini berpihak kepada Malaysia.
“Daripada usaha kedua-dua negara, sasaran itu boleh dicapai, terutama dari pihak Malaysia dalam memperoleh peralatan pertahanan dan keselamatan,” katanya pada sesi panel bertajuk ‘Turkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor’ pada TRT World Forum 2026, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia sudah menerima kapal misi pesisir (LMS) serta kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dari Turkiye dan ia akan mengukuhkan hubungan bukan saja dalam bidang pertahanan dan keselamatan tetapi juga dalam perdagangan.
“Saya percaya usaha berterusan akan diambil kedua-dua negara bagi mencapai sasaran berkenaan. Malaysia melihat kerjasama pertahanan dengan Turkiye sebagai satu pilihan strategik, dan bukan sekadar urusan perolehan semata-mata kerana ia membabitkan pemindahan ilmu serta teknologi.
“Turkiye memegang kedudukan strategik yang menghubungkan Eropah, Asia Barat, Asia Tengah dan kawasan sekitarnya. Kerana itulah saya fikir kerjasama rapat antara Malaysia dengan Turkiye adalah penting,” katanya.
Forum bertema ‘A World Without a Center: Who Leads When the Rules Run Out?’ itu menghimpunkan pemimpin politik, pembuat dasar, ahli akademik, pengamal media dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan isu global.
Ahli panel lain termasuk Pengarah Pengajian Dasar Luar Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA), Prof Murat Yesiltas; Felo Kanan Bukan Pemastautin Majlis Atlantik, Dr Rich Outzen; Presiden Pusat Arab Amerika, Farah Al-Atassi; dan Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Operasi Keamanan, Jean-Pierre Lacroix.
Forum berkenaan dirasmikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
















