Sikap pemuda Melayu itu yang sanggup meredah banjir bagi mengukur kedalaman air sebelum membenarkan kereta dipandu lelaki Cina meraih pujian orang ramai.

[VIDEO] ‘Saya nak cari abang ini, mahu ucap terima kasih depan-depan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA- Seorang pemuda berbangsa Cina dikenali sebagai Kevin Khoo mahu mencari seorang pemuda Melayu bagi mengucapkan terima kasih secara bersemuka selepas individu itu sanggup meredah banjir bagi membolehkan kereta dipandunya melalui kawasan itu.

Berdasarkan hantaran di Threads @khoo_kevin, lelaki itu mahu pengguna media sosial membantu mencari pemuda berkenaan yang membantunya meredah banjir di sebuah kampung dekat Ijok, Selangor semalam.

Katanya, dia mahu berjumpa pemuda Melayu itu dan belanja makan selain akan menceritakan kepada dunia bahawa masih individu baik hati masih wujud di Ijok.

Bercerita mengenai kejadian itu, katanya, dia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Jeram bagi menghadiri majlis perjumpaan bersama kawan-kawan yang sudah hampir 30 tahun tidak berjumpa.

Ceritanya, disebabkan hujan lebat, aplikasi navigasi yang digunakan telah membawa dia melalui kawasan Ijok sebelum melalui sebuah kampung sebelum berdepan insiden air banjir naik.

“Saya tersesat di sebuah kampung yang mana kiri dan kanan saya hanya kelapa sawit, ianya sunyi dan tiba-tiba air naik, sangat seram.

“Selepas itu, seorang abang Melayu muncul, lepas itu satu kampung pun keluar. Seorang abang yang saya tidak kenal, dia tidak bagi saya redah banjir, tetapi dia yang mahu redah dulu untuk ukur kedalaman.

“Lepas dia cakap selamat, baru dia bagi isyarat boleh jalan dan bukan dia seorang, satu kampung datang untuk tolong orang asing yang terkandas,” katanya dalam hantaran Threads hari ini.

Katanya, susulan pertolongan lelaki Melayu itu, dia selamat sampai ke majlis perjumpaan semula berkenaan dan bertemu dengan kawan-kawan.

“Tapi, hati saya tertinggal di kampung itu, saya mahu cari abang ini dan mengucapkan terima kasih.

“Kalau awak kenal abang ini atau awak abang itu sendiri, tolong saja untuk ‘tag’ atau mesej dia. Biar saya belanja makan dan cerita pada dunia bahawa orang baik hati itu masih wujud di kampung kita,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran sama seorang pemuda dikenali sebagai @khuzaifah9030 memberikan komen bahawa dia merupakan lelaki yang dicari itu.

Orang ramai turut menzahirkan ucapan terima kasih selain menyatakan rasa sebak dan terharu dengan sikap murni yang dipamerkan meskipun berbeza agama serta bangsa.

“Kenapa nak menangis baca ini, baiknya dia,” kata @nhhanim.

“Terima kasih abang kongsi cerita positif ini, saya terharu,” luah @hafizullah_ruslan. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN