HULU TERENGGANU – Pengalaman berdepan banjir yang menenggelamkan kawasan pondok sedalam lebih satu meter mendorong pengurusan Madrasah Addiniah Azzakiah di Lubuk Periok menggunakan kelas pengajian yang masih dalam pembinaan untuk dijadikan tempat berteduh.
Kelas pengajian yang masih dalam pembinaan dan menelan belanja RM500,000 itu dijadikan tempat berlindung pelajar pondok kerana lokasinya di tempat yang lebih tinggi.
Pentadbir Madrasah Addiniah Azzakiah, Siti Hasmah Mohideen, 43, berkata, bangunan tidak siap itu menjadi persediaan penting bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin sekiranya kawasan madrasah berkenaan sekali lagi dinaiki air tahun ini.
Ujarnya, walaupun pembinaan bangunan tersebut dijangka siap sepenuhnya sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun depan, sebahagian ruangnya sudah boleh digunakan sebagai tempat perlindungan sementara.
“Alhamdulillah, hasil sumbangan orang ramai, kita berjaya membina bangunan yang lebih tinggi bagi memastikan pelajar mempunyai tempat selamat untuk berlindung apabila banjir berlaku.
“Walaupun bangunan ini belum siap sepenuhnya, ruang di bahagian atas sudah boleh digunakan. Jadi, sekiranya air naik, kita boleh menempatkan pelajar di situ sementara menunggu keadaan kembali pulih,” katanya kepada Kosmo!
Siti Hasmah berkata, pengalaman banjir tahun lalu masih segar dalam ingatan apabila limpahan air Sungai Peneh menyebabkan kawasan madrasah ditenggelami air melebihi satu meter.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan aktiviti pembelajaran malah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar yang tinggal di kawasan pondok berkenaan.
“Kalau ikutkan pengalaman tahun lalu, air naik agak tinggi. Mujurlah ketika itu bangunan baharu ini sudah ada walaupun pembinaannya masih belum siap sepenuhnya.
“Sekurang-kurangnya kita mempunyai tempat yang lebih tinggi untuk pelajar berlindung. Pengalaman itu juga membuatkan kita lebih bersedia menghadapi kemungkinan banjir berulang pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pelajar Pondok Madrasah Addiniah Azzakiah, Wan Mohamad Denial Wan Mohd Ridzuan, 28, berkata, kewujudan bangunan baharu tersebut sedikit sebanyak mengurangkan kebimbangan mereka setiap kali musim tengkujuh tiba.














