KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor terus mencatatkan peningkatan pagi ini manakala Perak merekodkan penurunan dan dua PPS baharu dibuka di Negeri Sembilan.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,897 mangsa daripada 518 keluarga di 14 PPS pagi ini berbanding 1,665 mangsa daripada 444 keluarga semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela menempatkan 394 mangsa diikuti SK Parit Mahang (365), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (236), SK Sungai Binjai (141), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (137).
Selain itu, PPS SK Rantau Panjang menempatkan 125 mangsa, SRA Batu 8 Ijok (120) dan Dewan Masjid An Naim Kampung Jalan Kebun (103), SK Jaya Setia (72), Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (66), Dewan Orang Ramai Seri Harmoni menempatkan 62 orang.
PPS Dewan Orang Ramai Kampung Jaya Sepakat pula merekodkan 31 mangsa, SK Batu Arang (25) dan Balai Raya Kampung Sungai Kelambu seramai 20 mangsa banjir.
Di Perak, jumlah mangsa banjir yang berlindung di lapan PPS di lima daerah berkurangan kepada 635 orang daripada 223 keluarga pagi ini berbanding 666 orang daripada 236 keluarga petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan di daerah Larut, Matang dan Selama merekodkan sebanyak 155 mangsa daripada 60 keluarga masih berlindung di PPS SK Batu Hampar dan SK Matang.
Di daerah Manjung mangsa banjir kekal dengan 131 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai, manakala Perak Tengah mencatatkan 92 orang daripada 42 keluarga.
Di Hilir Perak pula, 97 mangsa daripada 31 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan manakala di Kerian, 160 mangsa daripada 51 keluarga termasuk 12 mangsa tanah runtuh daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS SK Bukit Merah dan SK Parit Haji Aman.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan cuaca baik pada sebelah pagi, namun dijangka ribut petir dan hujan pada sebelah petang dan malam di semua daerah di Perak.
Di Negeri Sembilan, dua PPS dibuka di daerah Port Dickson membabitkan SK Jimah dan Balai Raya Kampung Linggi yang menempatkan 58 mangsa daripada 17 keluarga setakat 7.22 pagi ini.
Berdasarkan data InfoBencana JKM mangsa terdiri daripada 21 lelaki, wanita (14) dan kanak-kanak (23).
Di Pahang, 164 mangsa daripada 51 keluarga masih berlindung di sebuah PPS di daerah Bentong pagi ini berbanding 163 mangsa daripada 50 keluarga petang semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia. – Bernama














