PEMAIN hoki negara, Fitri Saari (tengah) mengawal bola ketika bertemu pasukan Kanada pada saingan Piala Sultan Azlan Shah ke-32 di Stadium Hoki Azlan Shah malam ini. -BERNAMA

PSAS: Kanada jadi mangsa pesta gol Faizal Saari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara meneruskan momentum cemerlang mereka pada kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 apabila membelasah Kanada 6-0 pada perlawanan kedua di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak sebentar tadi.

Faizal Saari menjadi watak penting kemenangan skuad Speedy Tigers apabila meledak empat gol, sekali gus membantu Malaysia meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menundukkan Korea Selatan 3-0 dalam aksi pembukaan semalam.

Turun dengan misi memburu tiga mata penuh, skuad negara tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Faizal meledak gol padang seawal minit kedua.

Malaysia terus menguasai permainan pada suku kedua apabila Azrai Aizad Abu Kamal menggandakan kelebihan menerusi gol padang pada minit ke-23, sebelum Amirul Hamizan Azahar menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-28 untuk meletakkan Speedy Tigers selesa mendahului 3-0.

Memasuki separuh masa kedua, skuad negara terus mengasak dan menambah jaringan keempat pada minit ke-35 selepas Faizal tenang menyempurnakan pukulan penalti stroke.

Ketajaman penyudah Faizal terus menghukum benteng Kanada pada suku terakhir apabila dia melengkapkan hatrik menerusi satu lagi gol padang pada minit ke-49.

Pesta gol Malaysia kemudian dilengkapkan Faizal pada minit ke-57 menerusi jaringan daripada pukulan sudut penalti, sekali gus melengkapkan kuartet gol peribadinya dan mengesahkan kemenangan besar 6-0 buat negara.

Kemenangan tanpa bolos itu terus mengukuhkan momentum Speedy Tigers dalam saingan pusingan awal apabila kini mengumpul enam mata, manakala Kanada terus berdepan laluan sukar selepas turut tewas 1-5 kepada Pakistan dalam perlawanan pertama mereka.

Selepas ini, Malaysia perlu bersiap sedia untuk berdepan cabaran Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung pada 23 November ini dan selepas itu, skuad negara akan bertemu Australia pada 24 November dan Pakistan 26 November. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN