KUALA LUMPUR – Penantian 27 tahun Malaysia untuk kembali menjuarai acara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong akhirnya berakhir apabila Man Wei Chong-Tee Kai Wun menumbangkan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin pada aksi final hari ini.
Kejayaan bersejarah itu sekali gus mengembalikan gelaran beregu lelaki ke Malaysia buat kali pertama sejak 1999, ketika legenda negara, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock, muncul juara kejohanan berkenaan.
Pada aksi di Arena Kai Tak, Wei Chong-Kai Wun memperagakan aksi permainan cukup bertenaga dan bijak mencari ruang sebelum berjaya menundukkan gandingan yang juga juara Sukan Asia itu secara straight set 21-19, 21-18 dalam tempoh 39 minit.
Kemenangan berkenaan bukan sahaja menamatkan kemarau panjang Malaysia di Hong Kong, malah Gandingan No. 9 dunia itu menambah koleksi gelaran selepas menjuarai Terbuka Perancis bulan lalu.
Hasil kemenangan tersebut, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$39,500 (RM162,469) pada kejohanan berstatus Super 500 itu. -KOSMO! ONLINE














