BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bakal berdepan bintang India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty esok.

Terbuka Hong Kong: Wei Chong-Kai Wun lolos ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengesahkan tiket ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2026 selepas menundukkan pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, straight set 21-16, 21-16 pada aksi suku akhir di Arena Kai Tak, hari ini.

Gandingan ranking kesembilan dunia itu hanya mengambil masa 34 minit untuk mengetepikan cabaran pasangan ranking ke-14 dunia berkenaan, sekali gus membalas kekalahan kepada lawan sama pada pusingan kedua Masters Kumamoto di Jepun, minggu lalu.

Kemenangan itu juga menjadi yang pertama buat Wei Chong-Kai Wun ke atas Lundgaard-Vestergaard dalam tiga pertemuan mereka sebelum ini.

Mengulas prestasi positif tersebut, Kai Wun menyifatkan permainan mereka hari ini lebih kemas berbanding aksi di Kumamoto, minggu lalu.

“Perlawanan hari ini saya rasa lebih baik berbanding kejohanan di Kumamoto minggu lalu kerana ketika itu kami kurang mendapat rentak. Namun, minggu ini kami cuba kembali fokus dan berjaya menampilkan permainan yang lebih bagus,” katanya kepada BWF selepas tamat perlawanan.

Ditanya sama ada kemenangan itu didorong misi membalas dendam susulan kekalahan 15-21, 18-21 di Kumamoto, pemain berusia 27 tahun itu menegaskan bahawa beliau tidak mahu terlalu memikirkan keputusan perlawanan, sebaliknya memberi keutamaan kepada kualiti permainan sendiri.

“Bagi saya, saya tidak memikirkan soal menang atau kalah, tetapi yang penting adalah mempamerkan prestasi terbaik. Jika prestasi kami baik, kemenangan itu akan hadir dengan sendirinya,” jelasnya.

Menanti Wei Chong-Kai Wun pada aksi separuh akhir esok ialah beregu pilihan kelima dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, yang mara selepas menewaskan wakil China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi, 21-12, 13-21, 21-16.

Pertemuan itu bakal menjadi aksi pertama kedua-dua gandingan dalam tempoh lebih setahun, selepas kali terakhir berentap pada Terbuka Indonesia, Jun tahun lalu, yang menyaksikan Wei Chong-Kai Wun meraih kemenangan.

Bagaimanapun, Kai Wun enggan menjadikan rekod kemenangan terdahulu sebagai sandaran untuk berasa selesa menjelang pertembungan menentang gandingan yang pernah menghuni ranking No. 1 dunia itu.

“Pendekatan kami tetap sama, tidak fikir menang atau kalah kerana lawan esok merupakan antara beregu terbaik dunia. Jadi, kami tidak fikir kerana menang tahun lalu, kali ini mesti menang lagi. Kami hanya mahu fokus kepada prestasi sendiri di gelanggang nanti,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN