KUALA LUMPUR – Aksi bertenaga dipamerkan beregu wanita negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan ketika meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Kai Tak Arena sebentar tadi, pasagan muda itu melakar kejutan apabila menewaskan pilihan keempat kejohanan dari Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun dari Taiwan 21-19, 21-18.
Walaupun turun sebagai beregu bukan pilihan berdepan gandingan No.6 dunia, namun anak-anak buah Rosman Razak itu tidak mudah menyerah kalah, sebaliknya memberikan tentangan sengit kepada pasukan lawan.
Kemenangan yang diraih itu bukan sesuatu yang mudah apabila Zi Yu-Noraqilah dipaksa mengerah segala kudrat selain tidak dibezakan dengan jurang mata cukup besar dalam kedua-dua set permainan.
Ketika penghujung set kedua, beregu negara tersentak seketika apabila Yin Hui-Jhih Yun bangkit menyamakan kedudukan 18-18 meskipun Zi Yu-Noraqilah sudah mendahului 18-14 sebelum itu.
Bagaimanapun, mereka berjaya mendapatkan semula momentum dan mengutip mata demi mata sebelum memastikan kemenangan muktamad 21-18, sekali gus menempah slot ke pusingan suku akhir esok.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan, He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan dengan aksi straight-set 21-16, 21-16. – KOSMO! ONLINE














