Di sebalik deruan air sungai jernih dan kemeriahan aktiviti water rafting di perairan Sungai Kampar, Perak, tersimpan satu khazanah negara yang menjadi buruan komuniti pancing layang (fly fishing).
Beberapa batang anak sungai yang berhubung dengan Sungai Kampar menjadi destinasi wajib buat komuniti pancing layang memburu ikan sikang atau terkenal dengan julukan ‘Malayan trout’.
Ikan sikang atau nama saintifiknya Raiamas Guttatus merupakan antara spesies ikan air tawar yang menetap di kawasan sungai pergunungan yang jernih, berarus serta memiliki suhu dingin.
Meskipun sikang tidak menjanjikan saiz seperti ikan sebarau dan tengas, namun keterujaan pancing layang nyata memberi kepuasan tersendiri kepada komunitinya.
Salah seorang pemancing tegar teknik pancing layang, Mohammad Jasreen Aiman Jamaluddin berkata, saat sikang menyambar umpan merupakan detik yang ditunggu-tunggu oleh pemburu spesies tersebut.
Katanya, sensasi dan cabaran mengawal pancing layang berbeza dengan teknik konvensional lain.
“Berdasarkan pengalaman saya, teknik pancing layang merupakan antara kaedah paling menarik dan berkesan untuk memancing spesies ini.
“Walaupun saiz sikang tidak besar, tetapi ikan ini mempunyai tarikan tersendiri terutama bagi peminat sukan memancing menggunakan teknik pancing layang.
“Saat melihat ikan muncul dan menyambar dry fly atau umpan secara tiba-tiba merupakan pengalaman yang sukar digambarkan.
“Bagi mereka yang pernah merasai sendiri pengalaman memburu ikan sikang, kepuasan memancing spesies ini bukan terletak pada saiz ikan semata-mata.
“Sebaliknya, ia terletak pada teknik, cabaran sungai dan sensasi tarikan ikan,” katanya ketika ditemu bual K-Gewang baru-baru ini.
Jadi, tidak hairanlah Sungai Dipang di Kampung Sahom menjadi antara lokasi tumpuan peminat pancing layang dari seluruh negara untuk memburu sikang, terutamanya ketika musim kemarau.
Penghasilan umpan
Ikan sikang gemar menghuni sungai yang mempunyai arus dan sering memakan serangga kecil di permukaan air.
Selain serangga, diet sikang turut merangkumi ikan-ikan kecil dan udang halus, sekali gus menjadikan penggunaan umpan tiruan jenis dry fly sangat sesuai.
Dry fly merupakan umpan tiruan yang direka khas untuk terapung di atas air, menyerupai serangga sebenar.
Ada kalanya, umpan jenis ini dibuat sendiri oleh pemancing menggunakan beberapa bahan, antaranya bulu rusa, bulu burung merak, bulu ayam jantan bahagian leher serta bulu itik putih.
Bahan-bahan itu perlu diikat dengan ikatan khas secara teliti bagi mendapatkan hasil umpan Royal Wulff yang baik serta mampu menyerupai serangga sedang terapung di atas air.
Jasreen menjelaskan, fasa aktif sikang membaham umpan berbeza dengan sebarau atau tengas.

Ini kerana, kedua-dua spesies berkenaan lebih galak dan bernafsu menerkam gewang ketika musim hujan, meskipun berkongsi habitat sama dengan sikang.
“Aktiviti memburu sikang lebih diutamakan ketika musim panas, terutamanya di kawasan terbuka dengan aliran air sederhana laju.
“Antara umpan yang sering saya gunakan adalah Royal Wulff, Adams, Elk Hair Caddis, Mayfly, Humpy dan Stimulator.
“Ikan sikang tidak terlalu cerewet memilih makanan. Sekiranya umpan jatuh tepat pada kawasan atau radiusnya, ikan ini tidak teragak-agak untuk menyambar.
“Selain kawasan terbuka, sikang juga gemar bersembunyi di belakang batu yang merupakan lokasi sesuai untuk melakukan serangan hendap ke atas anak ikan tersasar dibawa arus,” ujarnya.
Waktu paling efektif untuk turun memancing ikan sikang adalah pada awal pagi, sebelum matahari tegak di atas kepala dan lewat petang.
Ikan sikang aktif memburu makanan pada waktu tersebut kerana suhu air lebih sejuk, sekali gus membuatkan lebih aktif berkeliaran sama ada di kawasan terbuka, jeram, celahan batu serta lubuk lebih dalam.
Sementara itu, kedalaman lubuk yang biasanya menjadi spot permainan sikang adalah dalam lingkungan satu kaki hingga paras betis.
Dari segi peralatan memancing, pemuda yang mesra disapa Jasreen itu memberitahu, penggunaan joran pancing layang kelas weight, bermula satu hingga tiga sangat sesuai untuk memburu sikang.
“Saya lebih menggemari joran dengan ukuran lapan kaki ke bawah kerana sungai-sungai kecil biasanya mempunyai banyak halangan seperti pokok, buluh dan kawasan tebing yang sempit.
“Jadi, joran yang pendek adalah lebih mudah dan efektif untuk dikendalikan ketika berhadapan dengan halangan berkenaan,” katanya.
Rekod tangkapan
Dengan menggunakan peralatan seperti dinyatakan di atas, skala ikan sikang terpanjang yang pernah didaratkan oleh pemuda berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu adalah berukuran 33 sentimeter (sm).
Sebagai rekod, ukuran berkenaan hanya kurang 2sm berbanding ikan terpanjang yang pernah didaratkannya di kawasan anak sungai sama.
“Ikan terpanjang yang pernah saya peroleh adalah sekitar 33sm, manakala rekod terpanjang yang pernah saya ketahui di kawasan ini adalah 35sm.
“Bagaimanapun, pemancing tidak boleh memandang rendah disebabkan saiznya.
“Walaupun bersaiz kecil, namun tarikannya sangat kuat, sekali gus memberikan pengalaman bertarung yang cukup mengujakan,” katanya.
Dalam pada itu, Jasreen menyarankan kepada pemancing supaya mengamalkan konsep tangkap dan lepas untuk kelestarian serta kesinambungan ikan sikang di perairan Kampar.
Katanya, ikan yang masih kecil dan induk sebolehnya dilepaskan kembali ke habitat asal supaya sungai di Kampar akan terus menjadi nadi utama buat komuniti pancing layang di negara ini.














