PETALING JAYA – Jika sebelum ini kejadian banjir akibat Monsun Timur Laut lebih sinonim dengan negeri-negeri Pantai Timur, utara dan selatan tanah air, namun tahun ini penduduk Selangor pula terpaksa berdepan ujian getir apabila dilanda bencana itu yang kini semakin buruk.
Setakat pukul 4 petang semalam, Selangor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,433 orang daripada 377 keluarga yang berlindung di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) dengan tujuh PPS dibuka di Kuala Selangor, manakala masing-masing sebuah di Klang dan Gombak berbanding 1,111 orang daripada 295 keluarga kelmarin.
Di Kuala Selangor, belum pun sempat menarik nafas lega selepas selesai kerja-kerja pembersihan akibat banjir Ahad lalu, Masjid At-Taufiqiah, Desa Coalfields sekali lagi ditenggelami air malam kelmarin.
Lebih menyedihkan, kejadian ini berlaku hanya dua minggu selepas masjid itu dilanda banjir pada 4 November lalu.
Wakil Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid At-Taufiqiah berkata, air mula naik kira-kira pukul 9 malam selepas jemaah selesai menunaikan solat isyak sebelum memasuki ruang solat utama.
“Alhamdulillah, ketika itu masih ramai jemaah berada di masjid selepas solat isyak dan kami dapat bersama-sama menggulung karpet serta menyelamatkan peralatan penting.
“Saya sangat sedih melihat rumah Allah jadi sebegini. Ini kali pertama banjir berlaku semula dalam tempoh hanya dua minggu selepas kejadian pada 4 November lalu,” katanya dalam satu klip video yang dikongsi di laman Facebook masjid berkenaan.
Katanya, kerja pembersihan masjid dilakukan secara berperingkat dan fasa terakhir gotong-royong hanya selesai Ahad lalu.
“Ini amat mengecewakan kerana semua usaha membersihkan ruang solat dan peralatan masjid baru sahaja selesai sebelum banjir semula,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merayu pihak kerajaan, swasta serta orang ramai tampil menghulurkan bantuan bagi membantu pihak masjid berdepan kejadian banjir berulang berkenaan.
Pihak masjid memaklumkan, solat subuh semalam terpaksa dibatalkan berikutan keadaan masjid yang masih digenangi air.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, masjid yang terkenal dengan julukan ‘masjid banjir’ itu berkemungkinan terpaksa dipindahkan atau ditinggikan bagi mengatasi masalah limpahan air berulang.

Sementara itu, perumahan Taman Saujana Aman diibaratkan seperti taman tema air atau waterpark selepas air naik di kawasan tersebut kelmarin.
Menerusi video dimuat naik penguna Threads Nazhanomar, dia berkongsi keadaan di sekitar tempat tinggalnya yang dinaiki air hingga ke paras lutut.
Dalam video itu, kelihatan air naik memenuhi ruang jalan dan memasuki rumah penduduk di perumahan tersebut.
Di Klang, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang mengisytiharkan Bencana Tahap 1 susulan banjir yang melanda Kampung Jalan Kebun kelmarin.
Pengisytiharan Bencana Tahap 1 merujuk kepada kejadian bencana yang boleh dikawal dan diuruskan oleh pihak berkuasa di peringkat daerah.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, PPS Masjid An-Naim di Jalan Kebun, dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
“PPS itu mula beroperasi kelmarin bagi menempatkan penduduk terjejas, selain memastikan keselamatan dan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.
“Penduduk dinasihat supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberikan kerjasama kepada agensi penyelamat,” ujarnya.
Tinjauan di Kampung Jalan Kebun Tambahan kelmarin mendapati, beberapa rumah dinaiki air paras lutut.














