PETALING JAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti beberapa dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan, Bachar Kiwan sebagaimana dilaporkan oleh Sarawak Report sejak 16 Ogos lalu.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, siasatan dalaman berkenaan susulan arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mahu penelitian menyeluruh dibuat supaya tindakan dan langkah sewajarnya dapat diambil.
“Bagaimanapun, SPRM ingin menjelaskan bahawa pertemuan antara pegawai suruhanjaya ini dengan Bachar Kiwan merupakan sebahagian daripada amalan siasatan biasa bagi meneliti serta mengesahkan maklumat yang dikemukakan berkaitan usaha pemulihan aset kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Setiap perbincangan turut dihadiri wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) dan ia tidak bermaksud SPRM mengiktiraf sebarang tuntutan atau status beliau,” katanya hari ini.
Untuk rekod, Bachar Kiwan tidak dikategorikan sebagai individu yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan perkara ini telah dimaklumkan kepada beliau ketika pertemuan pada 2 Disember 2025.
Berhubung dakwaan mengenai ganjaran dan pembahagian hasil pemulihan aset, SPRM berkata, laporan berkenaan merupakan draf terma daripada pihak ahli perniagaan terbabit dan tidak pernah dipersetujui atau ditandatangani oleh suruhanjaya ini.
“Mengenai isu pelantikan peguam, SPRM tidak pernah terlibat kerana ia diluar bidang kuasa suruhanjaya ini yang mana hak mutlak melantik peguam adalah atas kehendak individu itu sendiri.
“Penarikan diri firma guaman yang terlibat juga merupakan keputusan firma berkenaan,” katanya.
Kata kenyataan itu, SPRM memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bachar Kiwan selepas berjaya memperoleh dokumen rasmi dan rekod sah melalui permintaan Bantuan Perundangan Bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA) dengan pihak berkuasa Kuwait.
“Sehubungan itu, maklumat yang ditawarkan oleh beliau tidak lagi menjadi keperluan utama kepada siasatan.
“Sebagai makluman juga, pada hari ini, SPRM turut merakam percakapan ahli perniagaan, Albert Tei yang telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya bagi membuat aduan berhubung isu ini,” katanya.
Katanya, SPRM sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin mengemukakan aduan berhubung perkara ini kepada mana-mana agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia. – KOSMO! ONLINE














