Hun (kanan) dan Michael ketika bercakap pada sidang akhbar di Wisma MCA, Jalan Ampang hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

‘Dia rakam saya bogel, ugut bayar RM3,000’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Niat seorang wanita warga Vietnam untuk mendapatkan komisen dengan memperkenalkan rakan-rakannya kepada individu yang menawarkan pinjaman wang bertukar mimpi ngeri apabila dia dipaksa berbogel dan dirakam video sebelum diugut.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Hun, 32, itu turut berdepan ugutan supaya membayar wang sebanyak RM3,000 sebagai syarat untuk dilepaskan selepas diperdaya bertemu individu berkenaan di sebuah kawasan parkir pada 3 November lalu.

Katanya, dia pada awalnya menerima mesej daripada seorang lelaki dikenali sebagai CK pada 28 Oktober lalu yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang.

“Saya tak berminat untuk buat pinjaman, tetapi dia tawarkan komisyen lumayan 10 peratus sekiranya saya berjaya bawa rakan-rakan saya buat pinjaman,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit meminta mereka berjumpa terlebih dahulu bagi membincangkan urusan berkenaan.

Hun berkata, dia pergi bersendirian ke lokasi ditetapkan iaitu kawasan parkir sebuah pusat beli belah di sini sebelum melihat sebuah kereta berwarna hitam yang dinaiki lelaki berkenaan bersama seorang lagi individu.

Sebaik tiba, dia mendakwa ditolak masuk ke dalam kereta berkenaan sebelum CK meminta wang sebanyak RM10,000 daripadanya.

“Saya jawab tak ada duit sebanyak itu, dan saya diberi tiga pilihan. Pertama melakukan hubungan seks dengannya sebagai balasan dan tak perlu bayar sebarang duit.

“Kedua, bayar RM3,000 secara ansuran selama enam bulan dengan syarat saya beri dia rakam saya berbogel, dan pilihan akhir segera dapatkan bantuan rakan untuk bayar RM3,000 dalam tempoh 10 minit,” dakwanya.

Bercerita lanjut, Hun berkata, dia yang tidak mahu mengikuti kesemua arahan tersebut kemudian secara paksa dibuka pakaian dan dirakam oleh lelaki terbabit, manakala seorang lagi bertindak mengawasi keadaan dari luar kereta.

“Dia hantar video itu sebagai ugutan, dan minta saya jelaskan bayaran RM3,000. Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Damansara pada 3 November lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, kes berkenaan menunjukkan taktik terbaharu sindiket penipuan yang menggunakan tawaran pinjaman wang sebagai umpan sebelum bertukar kepada kegiatan pemerasan.

Menurutnya, mangsa dipercayai menjadi sasaran kerana merupakan warga asing yang mungkin kurang arif mengenai taktik jenayah sedemikian.

“Ini antara taktik terbaharu mereka. Pada mulanya menawarkan pinjaman wang, tetapi apabila mangsa bersetuju untuk berjumpa, mereka mengambil kesempatan untuk memeras ugut.

“Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang daripada mangsa,” katanya.

Michael berkata, pihaknya sudah menyediakan bantuan guaman menerusi tiga peguam bagi membantu mangsa, selain bersedia memberikan kerjasama kepada polis dalam siasatan lanjut.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghadiri pertemuan dengan individu tidak dikenali secara bersendirian, khususnya di kawasan parkir yang sunyi.

Katanya, sebarang urusan perniagaan atau pertemuan dengan individu yang baru dikenali sebaiknya dilakukan di lokasi awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN