SELEPAS sekian lama mengharungi pelbagai liku kehidupan termasuk kegagalan rumah tangga terdahulu, usahawan sensasi, Datuk Seri Vida akhirnya mahu memberi ruang kepada diri sendiri untuk menikmati kebahagiaan dan merasai pengalaman bercinta yang selama ini hanya berdiam didasar hatinya.
Biarpun sudah menerima lamaran daripada kekasih hatinya, Datuk Fazley Yaakob, Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman, enggan terburu-buru melangkah ke fasa perkahwinan sebaliknya memilih untuk menikmati setiap fasa dalam hubungan yang sedang dibina.
Baginya, kebahagiaan bukan sekadar tentang memiliki pasangan hidup tetapi turut merasai layanan dan penghargaan daripada insan yang menyayangi dirinya, sesuatu yang diakui tidak pernah benar-benar dinikmati sebelum ini.
“Saya nak rasa cinta sejati bukan dalam keadaan tergesa-gesa. Hidup ini panjang, jadi saya ingin sampai ke titik paling indah dalam alam perkahwinan,” katanya kepada HibGlam.
Di sebalik keterujaan menerima lamaran dengan 1,200 dron sehingga tular dalam media sosial, Vida menegaskan, kebahagiaan dan restu anak-anak tetap menjadi keutamaannya sebelum dirinya menikmati kehidupan baharu bersama Fazley.
Katanya, dia mahu memastikan semua anak daripada kedua-dua belah keluarga dapat menerima kehadiran satu sama lain sekali gus mampu membina sebuah keluarga bahagia kelak.
“Anak-anak yang memulakan dan saya nak kebahagiaan ini dirasai dulu oleh anak-anak. Kalau mereka gembira dan okey, saya akan turut bahagia.
“Kita nak semua anak-anak berkawan, berbaik-baik dan bersatu kerana semua yang saya lakukan adalah untuk mereka,” katanya yang mendapatkan restu Cik B dan Kacak sebelum menerima lamaran Fazley.
Vida turut menyifatkan lamaran tersebut sebagai satu penghargaan yang tidak akan dilupakan, selain berharap hubungan mereka menjadi permulaan kepada kehidupan lebih bahagia bersama keluarga.
“Saya rasa sangat dihargai oleh insan tersayang bila ada lamaran sebegini, seperti ‘queen treatment’ dan terima kasih ‘my king’.
Ini satu memori yang tidak akan saya dan anak-anak lupakan.
“Terima kasih kepada yang mendoakan, akhirnya terjadinya permulaan kepada pintu kebahagiaan, insya-Allah,” katanya lagi.
Tidak berdiam diri dengan kecaman yang diterima, Vida turut menitipkan pesanan kepada netizen yang mempersoalkan tindakannya menikmati fasa percintaan sebelum mendirikan rumah tangga.
“Kepada yang mempersoalkan mengapa saya tidak terus memilih perkara yang halal dan wajib seperti merisik, bertunang atau bernikah, sebelum mengata, saya nak jelaskan sesuatu.
“Saya mahu merasai cinta yang sebenar kerana perasaan itu perlu dibina secara berperingkat. Kalau boleh nak nikmati setiap proses itu kerana sebelum ini saya tidak pernah merasai layanan dan pengalaman sebegitu,” ujarnya.
VIDA menerima lamaran unik daripada Fazley berupa persembahan mega 1,200 dron. – MOHD FIRDAUS JOHARI
Bukan gimik
Sementara itu, Fazley menegaskan lamaran menerusi siaran langsung dan dron di KLCC bukan satu gimik pemasaran atau untuk kandungan media sosial tetapi bukti keseriusannya terhadap Vida selepas timbul pelbagai persoalan mengenai hubungan mereka.
“Ramai tanya betul ke bercinta, betul ke kamu berdua sudah berkahwin. Jadi hari ini adalah jawapan saya kepada semua persoalan selama ini.
“Saya masih memegang adat dan kami akan lalui proses merisik, bertunang dan bernikah. Langkah pertama ialah melamar dengan menghantar cincin tanda mengikut adat dengan cara generasi Z,” tuturnya.
Jelasnya, perkahwinan dijangka berlangsung pada tahun depan, namun sebarang tarikh belum ditetapkan kerana belum melalui fasa perbincangan dengan pihak keluarga.
“Belum ada tarikh kahwin kerana masih merancang. Saya rasa kita perlu tamatkan 2026 ini dengan sesuatu yang mega tetapi niat utama adalah membuktikan kepada anak-anak bahawa hubungan ini memang serius.
“Semoga ini adalah permulaan kepada kami untuk sampai ke pintu syurga tertinggi,” katanya.
Sebelum mengakhiri temu bual, dia sempat menyifatkan Vida sebagai seorang wanita yang mudah bertolak ansur dan memiliki jiwa positif.
“Setakat ini, dia sangat mudah dipujuk, seorang yang manja, merendah diri dan memiliki hati yang sangat lembut. Itulah kelebihan dirinya yang istimewa pada pandangan saya,” kata Vida.