Usia seharusnya menjadi ruang untuk saling melengkapi, bukannya tembok yang memisahkan generasi.

Ada orang tua jiwa strawberi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LABEL seperti Gen Z manja, milenial mengejar keselesaan dan golongan tua kolot sering menjadi tanggapan umum apabila membincangkan perbezaan antara generasi.

Namun, penilaian berdasarkan usia boleh mencetuskan diskriminasi apabila seseorang dinafikan peluang atau dilayan tidak adil hanya kerana faktor umur.

Fenomena itu dikenali sebagai ageisme iaitu stereotaip, prasangka dan diskriminasi terhadap seseorang berdasarkan usia seperti yang ditakrifkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Nurul Husna Mansor berkata, ageisme bukan sahaja melibatkan warga emas, malah turut dialami golongan muda yang sering dilabel tidak matang dan belum layak memikul tanggungjawab.

“Dalam dunia pekerjaan, golongan muda mungkin diketepikan daripada peluang kepimpinan kerana dianggap kurang pengalaman, manakala pekerja lebih berusia pula dilabel tidak relevan hanya disebabkan faktor umur.

“Penilaian sewajarnya dibuat berdasarkan keupayaan dan kompetensi individu, bukannya stereotaip kelompok umur,” katanya.

Menurut Nurul Husna lagi, perbezaan antara generasi sebenarnya terbentuk daripada latar belakang sosial, ekonomi, budaya dan teknologi yang berbeza.

Generasi terdahulu mungkin lebih mengutamakan kestabilan pekerjaan dan kepatuhan kepada hierarki, manakala golongan muda cenderung mementingkan fleksibiliti serta keseimbangan kehidupan.

Bagaimanapun, perbezaan tersebut tidak seharusnya menjadi alasan untuk melabel atau merendahkan mana-mana generasi.

Selain itu, persepsi terhadap sesuatu generasi turut dipengaruhi oleh kurangnya pemahaman terhadap pengalaman dan cabaran yang dilalui kelompok usia lain. Keadaan ini boleh menimbulkan salah faham apabila sesuatu tindakan atau pandangan dinilai tanpa memahami latar belakang yang membentuk pemikiran individu berkenaan.

Dari perspektif Islam, Surah al-Isra’, ayat 70 menegaskan kemuliaan manusia, manakala Surah al-Hujurat, ayat 11 melarang perbuatan memperolok-olokkan orang lain.

Rasulullah SAW juga menekankan kepentingan mengasihi golongan muda dan menghormati golongan tua sebagaimana diriwayatkan oleh al-Tirmizi.

Sejarah Islam turut membuktikan usia muda bukan penghalang untuk memikul tanggungjawab besar apabila Rasulullah SAW melantik Usamah sebagai panglima angkatan tentera ke Syam. Begitu juga Sultan Muhammad al-Fatih yang menakluki Constantinople ketika berusia 21 tahun.

Justeru, bagi menangani ageisme, Nurul Husna mencadangkan pendekatan mentor silang generasi (cross-generational mentoring) yang membolehkan golongan muda dan lebih berusia saling berkongsi pengalaman serta pengetahuan.

Menerusi pendekatan itu, golongan senior dapat berkongsi pengalaman dan kebijaksanaan, manakala golongan muda menyumbang pengetahuan teknologi, kreativiti serta perspektif baharu.

Katanya, WHO turut menggariskan pendidikan, pengukuhan dasar dan undang-undang serta intervensi antara generasi sebagai strategi menangani diskriminasi usia.

“Pengalaman generasi terdahulu boleh menjadi panduan, manakala idea generasi muda membuka ruang pembaharuan. Kedua-duanya mempunyai peranan dalam membina masyarakat yang harmoni.

“Usia seharusnya menjadi ruang untuk saling melengkapi, bukannya tembok yang memisahkan generasi. Setiap individu perlu diberi peluang untuk menyumbang tanpa dinilai berdasarkan tanggapan terhadap umur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN