MENUNTUT ilmu dengan guru yang mursyid adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam agar hidup tidak sesat.
Kisah yang ingin diceritakan kali ini melibatkan seorang usahawan yang agak berjaya, namun kehidupannya berakhir secara misteri di usia belum mencecah 45 tahun akibat membuta-tuli menuntut ilmu salah.
Menurut seorang usahawan dalam bidang binaan yang ingin dikenali Osman Shah, individu dikenali sebagai Johar itu adalah sahabat sekampungnya di sebuah negeri di Utara.
“Johar memang seorang pelajar yang pandai dan sering mendapat kedudukan tiga teratas di dalam kelas setiap tahun.
“Cuma Johar mempunyai perangai pelik iaitu suka menuntut ilmu bukan akademik,” katanya ketika ditemui di Bukit Changgang, Selangor baru-baru ini
Osman berkata, ilmu yang paling diminati oleh Johar adalah menuntut ilmu pengasih dan kebal sehingga dia sanggup mencari guru di sekitar daerah tempat mereka tinggal.
Ceritanya, semasa berumur 17 tahun iaitu di waktu mereka sepatutnya sibuk menelaah buku pelajaran, namun dia dan Johar sibuk belajar ilmu pengasih dengan seorang lelaki tua di kampung sebelah.
“Dipendekkan cerita, aktiviti Johar mencari ilmu mistik berbanding ilmu akademik mengganggu jadual saya mengulang kaji. Jadi, saya pun menarik diri daripada menemaninya berjumpa guru tersebut,” katanya.
Osman berkata, ada orang melihat Johar dihayun dengan batang besi, namun dia menahannya dengan tangan tanpa sebarang kecederaan.
“Saya menjadi takjub dengan cerita tersebut. Jadi, saya bertanya sendiri, ilmu yang dipakainya hingga menjadi sehandal itu.
“Dia pun bercerita dengan riak dan takbur kisah tersebut dan memperlekehkan saya yang enggan mengikutnya belajar ilmu tersebut,” ujarnya.
Walaupun sibuk belajar ilmu mistik, namun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Johar tetap cemerlang hinggalah dia melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Utara.
Osman memberitahu, mereka kemudian terpisah kerana dia memilih belajar di Selangor. Maka apa yang terjadi kepada Johar hanya diketahui ketika pulang cuti semester.
“Johar bercerita, dia menggunakan ilmu pengasih yang dipelajari untuk memikat gadis-gadis di universiti.
“Setelah berjaya dipikat, dia akan meninggalkan gadis tersebut hingga menyebabkan mereka merana kerana kecewa.
“Mendengar kisah tersebut, saya berasa marah dengan sikap buruk Johar yang menyalahgunakan ilmu dipelajari,” katanya.
Selepas tamat belajar, Johar telah menjadi usahawan yang berjaya dalam bidang pengangkutan.
Mencecah umur 40-an, sikap Johar yang riak dengan ilmu mistik dan kemewahan harta benda seperti rumah banglo dan kereta sport semakin menjadi-jadi.
“Sikap takbur dengan menganggap kejayaannya kerana berkat ilmu pengasih daripada pengamal perubatan dari seberang itu membuatkan saya menasihatinya agar bertaubat.
“Saya nasihatkan dia untuk bertaubat kerana dosa syirik amat berat apabila menyandarkan kejayaan dan nasib dengan manusia iaitu gurunya,” jelasnya.
Namun, Johar akan ketawa besar seolah rukun Islam dan rukun iman tidak menjadi pegangannya apabila dinasihati.
“Namun beberapa tahun selepas itu, Johar ajak saya berjumpa dan saya mendengar suaranya sangat menyedihkan seperti menghadapi masalah besar.
“Masa itu terfikir juga jika Johar ingin meminjam wang kerana ada masalah kewangan,” katanya.
Akhirnya, mereka berjumpa di sebuah restoran mamak di Shah Alam.
Pada pertemuan tersebut, Johar dilihatnya seperti kehilangan personaliti dan fizikalnya yang tegap sudah semakin kurus dan lesu.
“Mula-mula, dia meminta maaf kepada saya dan menyesali segala kata-kata dan perbuatannya kepada saya.
“Saya cakap, saya tidak terasa hati cuma kecewa kerana dia seolah-olah membelakangkan Tuhan dan tidak patuh kepada agama Islam,” katanya.
Menurut Johar, segala dosa yang dilakukannya kepada gadis-gadis di kampus dahulu telah berbalik kepada anak gadisnya apabila mengalami tekanan emosi akibat ditinggal kekasih.
“Perniagaannya juga merosot hingga banyak aset telah dilelong pihak bank.
“Isterinya sendiri sedang berura-ura untuk berpisah setelah perniagaan Johar merosot dan kehidupan semakin tidak bahagia,” katanya.
Menurut Osman, dia bercakap dengan nada tegas kepada Johar supaya bertaubat dan membuang segala ilmu mistik yang dipelajarinya sejak muda.
“Rupanya betul apa yang saya rasakan selama ini, dia ada menuntut ilmu yang memerlukan dia menyebut dan memuja nama makhluk seperti jin atau iblis.
“Setelah lebih dua dekad ilmu tersebut bersarang dalam dirinya, ia telah memakan dirinya beransur-ansur. Apa yang pasti, Johar seperti mendapat tonik untuk memperkuatkan iman di dada setelah lebih dua jam saya mentarbiyahnya,” katanya.
Beberapa bulan selepas pertemuan tersebut, Osman terjumpa dengan sahabatnya itu di sebuah masjid dalam keadaan sudah berjanggut panjang.
Pada pertemuan tersebut, Johar memberitahu, anak perempuannya yang sakit sudah sembuh dan anak lelakinya kembali ke pangkuan keluarga dan meneruskan bisnes keluarga.
“Isterinya pun tidak jadi bercerai setelah melihat perubahan Johar. Dia mula kembali fokus kepada keluarga.
“Johar juga berazam untuk mencari gadis-gadis yang pernah dia tinggalkan untuk meminta maaf.
“Begitu juga pesaing-pesaing perniagaan yang dijatuhkannya dengan menggunakan ilmu hitam turut dicarinya untuk memohon maaf,” katanya.
Kira-kira setahun lebih selepas pertemuan di masjid tersebut, Osman berkata, Johar dilaporkan meninggal dunia dalam tidur secara tiba-tiba tanpa sebarang penyakit.
Apakah punca Johar mati, biarlah ia menjadi rahsia Allah Yang Maha Mengetahui.
















