Orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan tempat yang berisiko terutama di kawasan sungai, pantai dan berbukit pada musim hujan dan tengkujuh. -GAMBAR JANAAN AI

Hati-hati ‘healing’ hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dua minggu lagi, cuti hujung tahun bagi Sesi Persekolahan 2026 akan bermula. Jadi sudah pasti ramai ibu bapa merancang untuk meluangkan masa bersama anak-anak termasuk makan angin sama ada di dalam atau luar negara.

Walaupun banyak wang yang perlu dibelanjakan awal tahun depan untuk pembukaan sesi persekolahan, Tahun Baharu Cina, awal Ramadan seterusnya Hari Raya Aidilfitri, tetapi itu tidak bermakna kita harus melupakan perancangan bercuti.

Sekarang ini terdapat banyak tempat-tempat menarik di dalam negara untuk dikunjungi termasuk yang ‘mesra poket’, cuma kita perlu pandai mencari dan merancang.

Bila ‘scroll’ media sosial, banyak kandungan tempat-tempat percutian dan tempat makan menarik dikongsikan. Sebagai pengguna, kita hanya pilih lokasi yang sesuai dengan bajet dan kemampuan kewangan sendiri.

Namun dalam ghairah merancang percutian, selain bajet, aspek keselamatan keluarga juga perlu diambil kira.

Saya mengakui agak fobia untuk healing di kawasan hutan dan air terjun lebih-lebih lagi pada musim hujan ketika Monsun Timur Laut.

Tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Hulu Selangor yang meragut lebih 30 nyawa pada awal pagi Disember 2022 masih segar dalam ingatan.

Dalam sekelip mata, puluhan pengunjung termasuk 12 kanak-kanak terkorban, dan ada yang tertimbus di bawah runtuhan tanah.

Keadaan itu memaksa anggota penyelamat menggunakan jentera berat, anjing pengesan dan alat pengesan berteknologi tinggi Ground Penetrating Radar (GPR) untuk mengesan mangsa-mangsa yang tertimbus pada kedalaman sehingga lima meter di bawah tanah.

Satu lagi bencana dahsyat yang berlaku pada penghujung tahun adalah banjir besar yang melumpuhkan Hatyai, Thailand sehingga menyebabkan kira-kira 6,000 rakyat Malaysia terkandas pada 2025.

Ada pelancong kita yang terpaksa bergelap di dalam bilik hotel dan mencatu makanan sementara menunggu bantuan daripada pasukan penyelamat tiba.

Itu belum dikira kenderaan yang rosak teruk akibat ditenggelami air sehingga terpaksa ditunda ke sempadan.

Baru-baru ini, lapan pengunjung ‘ditelan’ kepala air ketika beriadah di Sungai Pertak, Hulu Selangor.

Semua tragedi yang berlaku ini memberi pengajaran kepada kita supaya berhati-hati terutama ketika musim tengkujuh.

Jika boleh elakkan berkunjung ke tempat-tempat yang berisiko terutama di kawasan sungai, pantai dan berbukit lebih-lebih lagi sekiranya membawa ahli keluarga.

Jauhi kawasan-kawasan yang kerap dinaiki air. Malang tidak berbau. Tetapi bila bercakap tentang kematian, ada teman penulis berseloroh ‘duduk dalam kelambu pun jika sudah sampai ajal, malaikat maut tetap akan menjemput’.

Ya, betul. Jika sudah ajal kita pasti mati, cuma bala atau bencana itu jangan dicari yang akhirnya akan menyusahkan semua pihak termasuk pihak berkuasa.

Semak portal atau aplikasi Jabatan Meteorologi. Sekarang ia lebih mudah hanya di hujung jari. Semoga kita semua dilindungi daripada musibah dahsyat. Selamat bercuti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN