Ketua Pos ArRahnu, Mohamed Zubair Peerpulavar mahu mengubah persepsi bahawa pemilikan emas memerlukan modal yang besar.

Miliki emas sebenar serendah RM10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Emas sejak sekian lama dilihat sebagai aset pilihan rakyat Malaysia untuk membina kekayaan, melindungi nilai wang dan menjadi sandaran kewangan ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Namun, kenaikan harga emas yang berterusan menyebabkan pemilikan logam berharga itu semakin mencabar bagi sesetengah golo­ngan, terutamanya kumpulan yang mempunyai pendapatan sederhana atau baharu memulakan kerjaya.

Keperluan menyediakan modal besar untuk membeli jongkong atau barang kemas menjadi antara faktor yang mengehadkan kemampuan masyarakat untuk memilih emas sebagai sebahagian daripada simpanan jangka panjang.

Menyedari situasi tersebut, Pos ArRahnu, anak syarikat Pos Malaysia Berhad pada Julai lalu telah me­lancarkan Pos ArRahnu Gold-i, iaitu produk emas digital patuh syariah yang membolehkan orang ramai mula memiliki emas sebenar de­ngan modal serendah RM10.

Pendekatan itu membuka ruang kepada masyarakat untuk mula mengumpul emas secara berpe­ringkat mengikut kemampuan ma­sing-masing, tanpa perlu menunggu sehingga mempunyai simpanan besar untuk membeli emas fizikal.

Ketua Pos ArRahnu, Mohamed Zubair Peerpulavar berkata, produk berkenaan diperkenalkan bagi menjadikan pemilikan emas lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, sekali gus mengubah tanggapan bahawa aset itu hanya sesuai dimiliki golongan berkemampuan.

“Kami mahu mengubah persepsi bahawa pemilikan emas memerlukan modal yang besar. Dengan Pos ArRahnu Gold-i, pelanggan boleh mula menyimpan emas serendah RM10 dan meningkatkan pegangan mereka secara berperingkat mengikut kemampuan masing-masing,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pemilikan sebenar, bukan sekadar angka digital

Antara yang membezakan Pos ArRahnu Gold-i daripada platform pelaburan emas digital lain ialah setiap pembelian pelanggan disokong oleh emas fizikal sebenar dengan ketulenan 24 karat atau 999.9 yang memenuhi piawaian pensijilan SIRIM dan National Metrology Institute of Malaysia (NMIM).

Ini bermakna pelanggan bukan sekadar memiliki angka dipaparkan dalam akaun digital, sebaliknya mempunyai hak milik sah terhadap emas fizikal yang dibeli, dengan pilihan untuk menebus pegangan kepada emas fizikal tertakluk kepada terma dan syarat produk.

Mohamed Zubair menunjukkan emas seberat satu gram edisi terhad Pos ArRahnu yang boleh ditukar pemilik akaun Pos ArRahnu Gold-i.

Menurut Mohamed Zubair, pihaknya juga menawarkan jurang harga beli dan jual, atau spread te­rendah di pasaran, sekali gus memberikan kelebihan buat pelanggan yang bermodal kecil.

“Dari aspek keselamatan dan kepercayaan, emas fizikal disimpan di fasiliti peti besi keselamatan Safeguards G4S Malaysia dan di­lindungi insurans berdasarkan nilai penggantian penuh. Produk ini juga diperakui patuh syariah oleh SALIHIN Shariah Advisory.

“GO Capital Growth, sebuah syarikat berdaftar di Malaysia yang beroperasi dalam sektor dagangan logam berharga dan penyedia penyelesaian kewangan digital patuh syariah bertindak sebagai kustodian yang bertanggungjawab menguruskan pembelian, penyim­panan dan penyelarasan rekod emas. Apa yang penting, jumlah rizab emas fizikal yang disimpan sentiasa melebihi jumlah pegangan emas pelanggan.

“Secara keseluruhan, Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan kemampuan, pemilikan emas sebenar, fleksibiliti penebusan dan keselamatan penyimpanan dalam satu platform digital, sekali gus menjadikan pemilikan emas lebih mudah diakses oleh seluruh lapisan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata, keputusan memperkenalkan produk tersebut ketika harga emas berada pada paras tinggi bukan semata-mata didorong oleh kenaikan harga, sebaliknya mengambil kira potensi emas sebagai aset simpanan jangka panjang.

Jelasnya, minat masyarakat terhadap pemilikan emas kekal kukuh walaupun kenaikan harga boleh menjadi penghalang kepada mereka yang ingin membeli emas.

Justeru, pengenalan Pos ArRahnu Gold-i dengan modal permulaan rendah dianggap tepat pada masanya, disokong perubahan tingkah laku pengguna yang semakin cenderung kepada transaksi digital.

“Ini memberikan peluang kepada Pos Malaysia untuk mengga­bungkan kekuatan rangkaian fi­­zi­kalnya dengan kemudahan tek­nologi digital,” tambah Mohamed Zubair.

Dekati masyarakat luar bandar

Selain kemudahan digital, kekuatan Pos ArRahnu Gold-i turut terletak pada sokongan rangkaian fizikal Pos Malaysia yang mempunyai cawangan di seluruh negara, termasuk 65 cawangan Pos ArRahnu.

Rangkaian itu membolehkan pelanggan mendapatkan penera­ngan dan bantuan secara bersemuka, khususnya bagi mereka yang pertama kali ingin memiliki emas atau kurang biasa dengan transaksi digital.

Pendekatan berkenaan penting bagi memastikan peluang pemilikan emas tidak hanya tertumpu kepada penduduk bandar yang mempunyai akses lebih luas kepada perkhidmatan kewangan digital.

“Kami bukan sahaja menyediakan platform digital, malah turut menawarkan sokongan melalui rangkaian cawangan Pos ArRahnu bagi membantu pelanggan yang pertama kali hendak menyimpan emas dan tidak biasa dengan transaksi digital.

“Pendekatan kami adalah untuk menggabungkan kemudahan teknologi dengan sentuhan pe­r­khidmatan manusia,” katanya.

Dari segi kumpulan sasaran, Pos ArRahnu Gold-i memberi tumpuan kepada golongan muda, pekerja berpendapatan sederhana, keluarga dan peniaga kecil, selain pelanggan sedia ada Pos ArRahnu yang mahu mempelbagaikan cara mereka mengumpul emas.

Dalam tempoh satu hingga tiga tahun pertama, Pos ArRahnu memberi tumpuan kepada pembinaan asas pelanggan yang kukuh, pe­ningkatan jumlah emas terkumpul serta pertumbuhan transaksi.

Mohamed Zubair berkata, kejayaan produk itu bukan hanya diukur berdasarkan jumlah transaksi atau nilai jualan, tetapi juga keupayaannya memperluaskan akses masyarakat kepada pemilikan emas.

“Matlamat kami adalah menjadikan pemilikan emas bukan lagi sesuatu yang eksklusif untuk golongan berkemampuan, tetapi satu peluang membina aset yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Akhirnya, kami mahu membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan dan menjadikan Pos ArRahnu Gold-i sebagai pilihan yang dipercayai untuk pemilikan dan simpanan emas digital di Malaysia,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pos ArRahnu Gold-i dan mendaftar menerusi laman web rasmi https://posarrahnugold.ace2u.com.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN