KOTA BHARU – Lebih 50 nelayan di Kampung Pulau Gajah, Sabak di sini bergotong-royong menarik perahu kolek masing-masing ke darat sebagai persediaan menghadapi laut bergelora pada musim tengkujuh.
Tindakan itu bukan sekadar bagi mengelakkan perahu mengalami kerosakan akibat cuaca buruk, tetapi menandakan bermulanya tempoh sukar buat golongan nelayan yang terpaksa menghentikan semua aktiviti menangkap ikan selama tiga hingga empat bulan.
Ketua Nelayan Tanjung Kuala Sabak, Nik Ruzullaili Nik Yusof, 46, berkata, sebanyak 23 perahu kolek ditarik naik ke darat untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan termasuk membaiki kerosakan dan mengecat sebelum kembali digunakan selepas musim tengkujuh berakhir.
Katanya, aktiviti gotong-royong itu sudah menjadi tradisi tahunan dengan kebanyakan nelayan berkumpul bagi membantu menarik perahu kolek.
“Jumlah perahu kolek yang dinaikkan ke darat semakin berkurangan setiap tahun berikutan ramai nelayan tidak lagi turun ke laut disebabkan faktor usia.
“Sepanjang tempoh tiga hingga empat bulan tidak dapat ke laut, nelayan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menampung perbelanjaan keluarga kerana sumber pendapatan utama mereka terjejas.
“Saya sendiri akan bekerja sebagai tukang rumah bagi memperoleh pendapatan tambahan sepanjang tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Nik Ruzullaili memberitahu, terdapat juga nelayan berusia yang mengambil keputusan menjual perahu masing-masing kerana tidak lagi mampu mengusahakan kegiatan menangkap ikan selain bimbang perahu rosak jika dibiarkan terlalu lama.
Sementara itu, seorang nelayan, Azman Ya, 62, berkata, dia masih meneruskan pekerjaan sebagai nelayan selagi kudrat mengizinkan, namun bercadang menjual perahunya selepas ini kerana tiada anak yang akan mewarisi pekerjaan tersebut.
Menurutnya, kerja-kerja menaikkan perahu kolek ke darat dilakukan setiap kali menjelang musim tengkujuh bagi mengelakkan kerosakan akibat keadaan laut yang tidak menentu.
“Apabila perahu sudah berada di darat, saya akan memeriksa dan membaiki mana-mana bahagian yang rosak selain mengecatnya supaya berada dalam keadaan baik.
“Setiap tahun saya memperuntukkan kira-kira RM500 hingga RM600 untuk kos membaiki dan mengecat perahu,” katanya.
Azman berkata, sepanjang tempoh tidak dapat turun ke laut, dia bergantung kepada Elaun Sara Hidup Nelayan daripada kerajaan sebanyak RM300 sebulan serta wang simpanan hasil jualan ikan sebelum ini bagi meneruskan kehidupan.
















