LAUTAN dan daratan. Pelayaran dan pertanian nampak seperti dua dunia bertentangan, namun itulah dua perkara yang cuba diseimbangkan Natasha Wong See Kei, 18, yang merupakan atlet pelayaran Sabah dan juga pelajar Diploma Pertanian, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Gadis berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu mahu mengejar cita-cita dalam bidang pertanian dan pada masa sama terus mengharungi cabaran di lautan luas sebagai atlet sukan layar.
Menurut Natasha, bapanya yang merupakan ahli kelab kapal layar menjadi pendorong utama untuk dia mencuba sukan ini seawal usia lapan tahun, kemudian minat itu tumbuh mekar dan akhirnya mewakili Sabah pada usia 12 tahun.
“Antara perkara yang paling menarik tentang sukan pelayaran ialah setiap pengalaman menawarkan cabaran yang berbeza. Saya bukan sahaja perlu memahami arah angin dan arus air, malah perlu membuat keputusan dengan pantas, khususnya ketika berhadapan situasi yang mencabar.
“Selepas bertahun-tahun terlibat dalam sukan ini, pelayaran bukan lagi sekadar hobi bagi saya, tetapi ia menjadi satu perjalanan yang banyak membentuk diri saya sehingga hari ini,” kata anak sulung daripada dua beradik itu kepada K-Kampus.
Sepanjang penyertaannya sebagai atlet pelayaran kategori International 420 yang mewakili Sabah, Natasha berjaya meraih pelbagai kejayaan antaranya pingat emas bagi Kejohanan T-Sail Cup Terengganu 2026 dan Festival Tuai Regatta ke-38 & Festival Sabah Hari Terbuka Regatta 2026.
Dia turut memenangi pingat perak pada kejohanan Regatta Perdana Antarabangsa Langkawi ke-22 2026 dan pingat gangsa di kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.

Bukan sahaja Natasha, adiknya turut mengikut jejak langkahnya bergelar atlet pelayaran yang mewakili Sabah dalam kategori Optimist.
Di sisi yang lain, Natasha memilih bidang pertanian kerana minat terhadap alam semula jadi dan potensinya dalam pertanian pintar serta akuakultur. Baginya, pertanian bukan sekadar penanaman, malah penting kepada kelangsungan hidup dan kelestarian alam sekitar.
Kata Natasha, aktiviti-aktiviti itu membantunya menjernihkan fikiran dan mengisi semula tenaga selepas jadual yang sibuk, malah ia mengingatkannya untuk sentiasa positif.
Sepanjang menyertai kejohanan sukan layar, kongsi Natasha, pengalaman bertanding di Tainan, Taiwan merupakan antara momen yang sukar dilupakan kerana berdepan cuaca yang sangat sejuk dan angin kencang.
“Walaupun saya tidak berjaya meraih kemenangan dalam pertandingan tersebut saya menganggap pengalaman itu amat bermakna kerana memberi peluang untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharu serta mempelajari sesuatu di luar kebiasaannya,” ujarnya yang suka mendaki, meneroka alam semula jadi dan tempat baharu.
Tambah Natasha, pencapaian meraih pingat gangsa pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 turut menjadi antara detik membanggakan bagi dirinya dalam perjalanan sukannya.
“Bagi saya kejayaan bukan hanya diukur melalui pingat tetapi pengalaman yang paling berharga adalah yang mengajar kita sesuatu yang baharu dan membantu kita mengenali kemampuan diri sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai pengajiannya, Natasha menjelaskan, keputusan untuk memilih bidang pertanian di UPMS, Bintulu, didorong oleh keinginannya untuk belajar dalam persekitaran yang lebih dekat dengan alam semula jadi, jauh daripada kesibukan kehidupan di bandar.
“Apabila bercakap tentang pertanian perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah kehidupan. Pertanian membekalkan makanan yang menjadi asas kelangsungan hidup manusia.
“Pada pandangan saya, pertanian bukan sekadar aktiviti penanaman secara tradisional. Bidang ini mempunyai potensi yang luas termasuk pertanian pintar dan akuakultur.
“Saya berharap lebih ramai golongan muda dapat melihat peluang dalam sektor ini dan bersama-sama menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari,” katanya yang kini di semester satu pengajian.
Tambahnya, pertanian bukan sekadar pilihan pengajian tetapi juga satu bidang yang membuka ruang untuknya memahami hubungan antara manusia, alam sekitar dan kelangsungan hidup.
“Pengajian ini memberi saya ruang untuk memahami alam sekitar dengan lebih dekat di samping mendalami bidang yang mempunyai kepentingan besar kepada masyarakat.
“Sehubungan itu, walaupun sibuk bergelar atlet, saya akan sedaya upaya untuk memberi tumpuan kepada pengajian dan akan teruskan ke peringkat ijazah sarjana muda kerana mahu menjadikannya pekerjaan utama pada masa depan,” tuturnya yang berpegang kepada prinsip hidup, sentiasa berani untuk mencuba perkara baharu dan jangan berputus asa.

Akuinya, mengimbangi antara akademik dan sukan tidak mudah, terutama ketika menyertai sesebuah pertandingan yang memerlukannya fokus kepada jadual latihan sehingga ada kelas yang tidak dapat dihadiri.
“Sebagai contoh, semasa Sukma Selangor 2026, saya tidak dapat menghadiri kuliah selama sebulan, tetapi saya masih cuba menetapkan masa dua hingga tiga jam sehari untuk belajar selepas pertandingan dan latihan harian.
“Selepas tamat Sukma, saya bekerja keras untuk mengejar kuliah dan tugasan yang saya terlepas. Ia sangat mencabar, tetapi pengalaman ini mengajar saya tentang kepentingan pengurusan masa, pengorbanan, dan ketekunan.
“Saya telah belajar bahawa mengimbangi kedua-dua tanggungjawab tidak bermakna semuanya akan sentiasa berjalan lancar. Kadangkala kita perlu berkorban dan berusaha lebih dalam apa yang kita sukai,” katanya.
Dalam pada itu, pengalaman sepanjang pengajian turut mengajar Natasha bahawa kehidupan di universiti bukan sekadar tentang keputusan akademik atau pencapaian dalam pertandingan.
Sebaliknya, ia merupakan proses pembelajaran berterusan yang membentuk kematangan, keyakinan dan keupayaan seseorang untuk berdikari.
“Saya masih belajar dan berkembang sebagai individu.
“Saya dapat melihat bagaimana pengalaman yang dilalui menjadikan saya lebih matang dan lebih bersedia untuk bertanggungjawab terhadap masa depan sendiri,” katanya.
Selain mahu berjaya dalam bidang sukan dan pengajiannya, Natasha juga memasang impian besar untuk mengembara melihat dunia dan juga mendaki Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal.
Sebelum menutup bicara, Natasha turut menitipkan pesan kepada anak muda agar sentiasa berfikiran positif dan elakkan daripada pemikiran negatif yang akan menghalang untuk melangkah ke hadapan.
“Anak muda juga perlu mencuba perkara baharu di luar bidang masing-masing untuk menambah pengalaman kerana ketika usia inilah kita perlu meneroka pelbagai peluang yang ada.
“Jangan takut mencuba, walaupun itu di luar bidang anda kerana kita tidak tahu mungkin ia bakal memberi potensi besar kepada diri anda,” katanya.
















