WEI CHONG dan Kai Wun terpaksa akur peluang mereka ke saingan WTF sudah tertutup, namun sedia memberikan aksi terbaik dalam dua kejohanan.

Wei Chong-Kai Wun lupakan WTF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun akur kedudukan mereka dalam ranking Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ketika ini sudah menutup peluang untuk melangkah ke saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) bulan depan.

Meskipun muncul juara pada kejohanan Terbuka Perancis bulan lalu, namun ia belum dapat membantu mereka untuk layak memandangkan Wei Chong-Kai Wun sekadar menghuni tangga ke-33 dalam ranking Jelajah Dunia.

Keadaan itu sekali gus memaksa mereka untuk mengalihkan perhatian ke arah kejohanan Kumamoto Masters dan Terbuka Hong Kong selain mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan musim baharu yang menggunakan format 15 mata.

“Saya fikir peluang kami untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir sudah tertutup. Fokus kami pada ketika ini adalah untuk menampilkan aksi terbaik dalam dua kejohanan akan datang, iaitu Kumamoto Masters dan Terbuka Hong Kong.

“Selepas itu, kami juga meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok lapan teratas ranking dunia BWF menjelang kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung tahun depan,” katanya kepada BWF.

Sebagai rekod, lapan beregu terbaik dalam ranking Jelajah Dunia dan maksimum dua wakil setiap negara sahaja akan layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir yang akan berlangsung di Hangzhou, China bermula 9 hingga 13 Disember depan.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun kempunan untuk melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut selepas tewas 17-21, 17-21 kepada beregu tuan rumah, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada separuh akhir Terbuka Korea kelmarin.

“Saya rasa pertahanan saya memang kurang baik kerana gagal untuk membalas semula pukulan smash yang mereka lakukan. Itu merupakan salah satu punca kekalahan kami kepada mereka,” ujar Wei Chong.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN