Zarif Ghazzi nafi dakwaan salah laku, lapor polis, lantik peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon popular Zarif Ghazzi mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis dan melantik peguam susulan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengannya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Menerusi satu kenyataan rasmi pihak pengurusan, Zarif menegaskan bahawa dia tidak pernah melakukan sebarang perbuatan seperti yang didakwa, selain menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dikaitkan dengan dirinya.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat dan wakil peguam telah dilantik bagi mendapatkan nasihat serta meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, pihak pengurusan memandang serius isu berkenaan dan menegaskan bahawa setiap dakwaan perlu dinilai secara adil berdasarkan fakta serta bukti relevan tanpa sebarang kesimpulan awal.

Pihaknya turut menyeru media dan masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi sehingga boleh menjejaskan reputasi, maruah serta hak mana-mana individu terlibat.

Selain itu, pihak pengurusan menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu proses siasatan.

“Buat masa ini, kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan saluran perundangan yang sewajarnya. Sehubungan itu, pihak kami tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara yang masih dalam penelitian,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, nama pelakon filem Kudrat 1968: High Council itu dikaitkan dengan dakwaan Puteri Balqis meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika menjayakan babak lakonan bersama.

Balqis kemudian bertindak turut mengambil inisiatif bertemu pengarah bagi meminta supaya babak bersentuhan dikurangkan selepas mendakwa pelakon berkenaan berulang kali cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Balqis atau dikenali sebagai Aqish turut meluahkan rasa kurang senang apabila mendakwa sering menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya.

Malah, dia yang mengakui tidak berminat menjalin hubungan dengan mana-mana pelakon lelaki menyifatkan golongan lelaki dalam industri hiburan sebagai membosankan.

Malam tadi, Aqish membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kelantangan serta penggunaan kata-kata kesat dalam beberapa hantaran media sosialnya baru-baru ini sehingga mengundang kecaman ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN