SEREMBAN – Tampil dengan jenama kononnya dari Jerman dan Belgium, namun hakikatnya minuman keras itu dihasilkan secara tiruan di sebuah kilang di Semenyih, Selangor.
Kegiatan pengilangan bir tanpa lesen yang sah dan dipercayai beroperasi lebih setahun bagi mengelak pembayaran duti eksais itu terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menyerbu premis berkenaan pada 5 November lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, pihaknya merampas bir 500 ml pelbagai jenama bersamaan 9,732 liter, selain 45 unit mesin dan tangki, 11 bungkusan bahan mentah serta lima kotak label pelbagai jenama.
Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Jamal Paiman berkata, nilai keseluruhan barangan yang disita dianggarkan RM710,426, manakala jumlah termasuk duti dan cukai mencecah RM1,054,857.56.
Menurutnya, operasi di kawasan Perindustrian Hi-Tech, Semenyih itu dijalankan sepasukan anggota Cawangan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri hasil kerjasama tiga agensi risikan dalam tempoh tidak kurang dua minggu. – KOSMO! ONLINE














