Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki nyaris hanyut di Chemomoi, Bentong, Pahang.

[VIDEO] Deras macam air terjun, lelaki nyaris hanyut di Chemomoi, Bentong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki dipercayai berdepan detik cemas apabila nyaris dihanyutkan arus deras bersama motosikalnya dalam kejadian banjir di kawasan Chemomoi, Bentong, Pahang, malam ini.

Kejadian itu dipercayai berlaku susulan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Bentong sejak petang tadi sehingga menyebabkan air melimpah ke jalan raya.

Bagaimanapun, lelaki terbabit dipercayai sempat berpaut pada sesuatu objek bagi mengelakkan dirinya terus dihanyutkan sebelum diselamatkan oleh beberapa penduduk yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Menerusi perkongsian video oleh pengguna Threads, @aki_pahang, kelihatan air banjir mengalir terlalu deras sehingga menyerupai air terjun di kawasan berkenaan.

Rakaman itu turut memperlihatkan arus air berwarna keruh menghempas bahagian tepi jalan dengan kuat sehingga menghasilkan buih putih.

“Semoga dipermudahkan. Hati-hati semua. Lokasi Chemomoi,” tulis pengguna berkenaan menerusi hantaran di Threads.

Terdahulu, beberapa kawasan di Bentong termasuk Karak dilaporkan mengalami banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak pukul 6 petang tadi.

Beberapa rakaman yang tular di media sosial turut memperlihatkan kenderaan ditenggelami air, selain jalan raya dinaiki air sehingga menyukarkan pergerakan pengguna.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman sebelum ini turut memaklumkan menerima laporan mengenai beberapa kawasan yang dinaiki air dan meminta penduduk sentiasa berwaspada.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya peka terhadap sebarang amaran pihak berkuasa serta menghubungi talian pejabatnya sekiranya memerlukan bantuan. – KOSMO! ONLINE

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN